Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Kadar kebolehjangkitan tinggi di Melaka kerana 16 kluster aktif

Kadar kebolehjangkitan (Rt) COVID-19 harian Melaka yang mencatatkan bacaan tertinggi negara iaitu 1.17 semalam adalah disebabkan 16 kluster aktif yang dilaporkan di negeri itu sepanjang minggu lepas, kata Exco Kesihatan dan Antidadah Rahmad Mariman.

Rahmad berkata daripada kluster itu, Kluster Industri Serkam dan Kluster Tembok Sungai Udang menjadi penyumbang kes positif Covid-19 tertinggi di Melaka ketika ini.

"Majoriti kes positif adalah dari Kluster Industri Serkam iaitu 80 peratus manakala Kluster Tembok Sungai Udang (10.7 peratus).

"Kita jangkakan terdapat sedikit peningkatan kes positif melibatkan Kluster Industri Serkam pada hari ini serta esok manakala kes kumulatif kluster itu telah mencecah 800 kes hingga semalam," katanya dalam satu sidang media di Melaka, hari ini.

Bagaimanapun, dia menjangkakan Rt Covid-19 harian Melaka akan mencatat penurunan dalam tempoh tiga hari lagi selepas saringan Kluster Industri Serkam selesai dilaksanakan.

Berdasarkan infografik yang dikongsi Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah semalam, Melaka mencatatkan Rt Covid-19 harian tertinggi negara diikuti Selangor pada 1.10; Johor (1.09) dan Pulau Pinang (1.07).

Dalam perkembangan lain, Rahmad berkata hanya kira-kira 10 peratus rakyat negeri ini yang menjalani kuarantin atau isolasi di rumah menandatangani aku janji atau borang deklarasi bagi membenarkan maklumat peribadi mereka dikongsi kepada pihak ketiga seperti Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan polis.

Dia berkata maklumat pesakit berkenaan diperlukan bagi tujuan pemantauan dan penyaluran bantuan makanan untuk memastikan mereka tidak terputus bekalan makanan.

"Situasi ini menjadi masalah kepada kita kerana maklumat pesakit Covid-19 adalah terpelihara di bawah kerahsiaan maklumat rekod perubatan," katanya.

Katanya sehingga semalam, 230 pesakit positif Covid-19 kategori satu dan dua perlu menjalani kuarantin atau isolasi di rumah masing-masing.

-Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS