Umat Islam khususnya para bapa untuk mengambil iktibar daripada Penghakiman Mahkamah Persekutuan dalam kes Rosliza Ibrahim lawan kerajaan negeri Selangor DAN Majlis Agama Islam Selangor (Rayuan Sivil No: 01(f)-2-01/2020 (B)) pada 5 Februari 2021 yang lepas (“Kes Rosliza”).
Kes ini menunjukkan betapa pentingnya para bapa untuk memelihara kehormatan diri dan nasab keturunan selari dengan prinsip Maqasid Syariah dalam mengelakkan masalah yang lebih besar pada kemudian hari khususnya berkenaan status agama anak.
Dalam masa yang sama, para bapa juga perlu mengambil pengajaran bahawa mereka perlu memainkan peranan yang aktif dalam membesarkan anaknya sebagai seorang Muslim sekali pun anak yang dilahirkan tersebut adalah merupakan anak tidak sah taraf dan/atau membesar dengan si ibu yang bukan beragama Islam.
Hal ini adalah selaras dengan saranan daripada Nabi SAW dalam hadisnya yang bermaksud:
“Setiap anak dilahirkan dalam keadaan fitrah (suci bersih), kedua-dua ibu bapanyalah yang mencorakkannya menjadi Yahudi, Nasrani atau Majusi”. (Hadis Riwayat Bukhari [No. 4775] dan Muslim [No. 2658]).
Walaupun anak tersebut dilahirkan dalam keadaan ibu bapanya berdosa kerana melakukan persetubuhan haram iaitu zina, anak tersebut tetap dilahirkan dalam keadaan bersih dan tidak berdosa.
Oleh itu, si bapa yang beragama Islam tetap mempunyai kewajipan dan tanggungjawab untuk mendidiknya dan membesarkannya dalam agama Islam.
Begitu juga dalam kes jika anak tersebut dibesarkan oleh si ibu yang bukan beragama Islam sekali pun, si bapa tetap mempunyai kewajipan dan tanggungjawab untuk memperkenalkan dan membesarkan si anak dengan agama Islam, di samping agama ibunya, sehinggalah si anak layak membuat keputusan untuk memilih agamanya sendiri apabila telah mencapai umur majoriti dan/atau akil baligh.
Dalam kes Rosliza tersebut, Mahkamah Persekutuan telah membuat satu penghakiman yang menjadi mercu tanda kes (landmark case).
Kesemua sembilan panel Hakim telah bersetuju secara sebulat suara bahawa Mahkamah Tinggi Sivil mempunyai bidang kuasa untuk mendengar permohonan seseorang untuk mengesahkan bahawa beliau bukannya seorang Muslim dari awal lagi (berbeza dengan kes pengesahan status Murtad yang hanya boleh diputuskan oleh Mahkamah Syariah).
Bagaimanapun, tujuh orang hakim memutuskan yang Rosliza bukanlah seorang Muslim dari lahir menurut Seksyen 2 Enakmen Pentadbiran Agama Islam (Negeri Selangor) 2003 sementara dua orang lagi memutuskan bahawa isu tersebut hendaklah diputuskan oleh Jawatankuasa Fatwa Negeri Selangor menurut Seksyen 53 Enakmen yang sama.
Dalam penghakiman majoriti setebal 49 muka surat yang ditulis oleh Ketua Hakim Negara, Tengku Maimun Tuan Mat, Mahkamah Persekutuan memutuskan bahawa Rosliza bukanlah seorang Muslim dari lahir kerana ketiadaan bukti yang mencukupi untuk membuktikan perkara itu.
Beliau merupakan anak tidak sah taraf dan dibesarkan oleh ibunya yang beragama Buddha.
Bukti yang dikemukakan hanyalah butiran dalam kad pengenalan dan dalam permohonan semasa membuat kad pengenalan yang menyatakan status beliau sebagai beragama Islam, namun Mahkamah Persekutuan memutuskan yang butiran tersebut tidak memadai untuk diterima sebagai bukti yang muktamad dan ia hendaklah dibuktikan sebagai benar sekiranya berlaku pertikaian.
Justeru, Ikram Legal berharap rakyat Malaysia yang beragama Islam khususnya dapat menerima dan/atau menghormati penghakiman tersebut.
Dalam masa yang sama, pihak Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) juga perlu lebih berhati-hati selepas ini dalam menerima apa-apa permohonan untuk mengeluarkan kad pengenalan khususnya berkenaan identiti agama seseorang bagi mengelakkan kes sebegini berulang kembali.
MARWAN ABDULLAH ialah pengerusi Ikram Legal.
Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.