Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita

ULASAN | Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih 2.0) mencadangkan agar badan pengurusan pilihan raya di Malaysia dibahagikan kepada tiga suruhanjaya yang mempunyai autonomi dan bidang kuasa yang berlainan. Ia agar pengurusan pilihan raya di Malaysia dilaksanakan dengan lebih cekap dan bebas.

Ketika ini, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) memikul semua beban tugas pelaksanaan pilihan raya seperti pendaftaran pemilih, persempadanan semula kawasan pilihan raya, perjalanan pilihan raya seperti penamaan calon dan penguatkuasaan Akta Kesalahan Pilihan Raya dengan bantuan agensi lain seperti polis.

Cadangan ini dibuat berdasarkan laporan kajian yang telah dilancarkan oleh Bersih 2.0 hari ini yang bertajuk “Tiga Lebih Baik: Reformasi Institusi Bagi Pengurusan Pilihan Raya di Malaysia”.

Kajian ini telah dijalankan oleh pegawai kami, Chan Tsu Chong. Pecahan tiga suruhanjaya yang dicadangkan ialah:

1. Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) – Suruhanjaya ini masih bertanggungjawab untuk proses pelaksanaan pilihan raya seperti pendaftaran pemilih, penamaan calon, pelaksanaan hari pengundian, penjumlahan undi dan pengisytiharan keputusan pilihan raya.

2. Suruhanjaya Penguatkuasa Pilihan Raya (SPPR) – Tanggungjawab suruhanjaya ini untuk memantau dan memastikan pematuhan semua undang-undang berkaitan pilihan raya, termasuk Akta Pilihan Raya 1958 dan Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954.

Selain itu, ia juga akan bertanggungjawab meregulasi pendaftaran dan pengurusan parti politik termasuk pendanaan parti politik dan laporan tahunan parti politik. SPPR akan mempunyai kuasa menyiasat, mengeluarkan waran dan memanggil suspek serta saksi. SPPR juga boleh menubuhkan tribunal pilihan raya untuk menerima aduan dan melakukan siasatan.

Suruhanjaya ini hendaklah dianggotai oleh Ketua Polis Negara (KPN), Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Peguam Negara serta empat orang ahli suruhanjaya yang dilantik berdasarkan kepakaran. Daripada empat orang ini, dua daripadanya harus dilantik daripada pertubuhan masyarakat sivil.

3. Suruhanjaya Persempadanan (SP) – Suruhanjaya ini akan ditubuhkan secara ad hoc apabila wujud keperluan melakukan persempadanan semula berdasarkan peruntukan Jadual Ketiga Belas Perlembagaan Persekutuan. Kami mencadangkan supaya Jadual Ketiga Belas dipinda bagi memberikan SP kuasa muktamad untuk meluluskan cadangan persempadanan.

SP perlu dianggotai oleh seorang hakim Mahkamah Persekutuan, seorang ahli SPR, seorang ahli SPPR, Pengarah Jabatan Tanah dan Ukur, Pengarah Jabatan Perangkaan Negara dan dua orang ahli yang mempunyai kelayakan sah serta pengalaman sekurang-kurangnya 10 tahun dalam pilihan raya, statistik dan geografi.

Bersih 2.0 mencadangkan agar ketiga-tiga suruhanjaya ini bebas sepenuhnya daripada cabang Eksekutif serta perkhidmatan awam. Kesemua suruhanjaya ini hendaklah dipantau dan melaporkan kepada jawatankuasa pilihan khas Parlimen berkenaan urusan pilihan raya.

Bagi urusan penamaan calon yang layak menganggotai suruhanya ini, Bersih 2.0 mencadangkan agar satu Jawatankuasa Khas Penamaan Suruhanjaya Pilihan Raya (JKPR) dibentuk untuk menapis dan menyenarai pendek calon-calon yang berkelayakan untuk dipersembahkan kepada Yang di-Pertuan Agong, sebelum dilantik oleh Agong.

Jawatankuasa ini hendaklah dianggotai oleh Perdana Menteri, Ketua Pembangkang, pengerusi dan seorang ahli dari jawatankuasa pilihan khas Parlimen untuk urusan pilihan raya, Ketua Hakim Negara, Pengerusi Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam), Presiden Majlis Peguam, dan seorang ahli daripada pertubuhan masyarakat sivil.

Bersih 2.0 percaya bahawa reformasi paling utama adalah berkenaan pilihan raya dan institusi dengan mereformasi badan pengurusan pilihan raya agar ia dilihat telus, cekap dan mendapat keyakinan rakyat untuk memegang amanah bagi menjalankan pilihan raya.

Keyakinan rakyat sangat bergantung kepada ketelusan proses pilihan raya dan badan pengurusan pilihan raya ini mempunyai semak dan imbang yang secukupnya.


Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS