mk-logo
Berita
Kumpulan alam sekitar bantah syarikat mohon bangunkan tanah di Langkawi
Diterbitkan:  Feb 7, 2021 4:17 PM
Dikemaskini: 8:17 AM

Sekumpulan 24 pertubuhan alam sekitar membuat bantahan secara rasmi terhadap permohonan sebuah syarikat swasta untuk membangunkan beberapa bidang tanah kerajaan negeri Kedah di Pulau Langkawi.

Presiden Sahabat Alam Malaysia (SAM) Meenakshi Raman berkata bidang-bidang tanah di Padang Matsirat itu - PT 449 (Utara), Lot 60002/PT 17/Lot 1047/Lot 967 (Timur), Tanah Kerajaan (Laut) (Barat) dan Lot 60012 & PT 1298 - terletak di kawasan pemecah ombak (break water) iaitu struktur benteng yang dibina bagi melindungi pelabuhan atau pantai daripada ombak kuat dan hakisan.

Bantahan itu disampaikan kepada Pejabat Daerah dan Tanah Langkawi.

“Pengarah Tanah dan Galian Negeri Kedah baru-baru ini telah mengeluarkan satu kenyataan yang memaklumkan bahawa sekiranya beliau tidak menerima sebarang bantahan yang munasabah berkenaan dengan permohonan tanah ini sebelum 3 Februari 2021, maka ‘tanah tersebut mungkin akan dibenarkan’ kepada syarikat tersebut,” kata Meenakshi dalam satu kenyataan bersama.

Katanya, kumpulan itu menghantar bantahan mereka antara lain, selepas mendapati permohonan itu berkaitan projek penambakan laut seluas 1,979 ekar yang diumumkan Menteri Besar Kedah Muhammad Sanusi Md Nor baru-baru ini bersama sebuah syarikat swasta.

“Sebarang permohonan tanah yang berkaitan dengan projek penambakan laut tersebut seharusnya tidak boleh dibenarkan kerana ianya adalah pramatang (premature) atas sebab ia masih lagi belum melalui proses undang-undang yang diperuntukkan.

“Sebarang projek penambakan laut seluas ini wajib mendapatkan nasihat daripada Majlis Perancang Fizikal Negara (MPFN) di bawah Seksyen 20B Akta Perancangan Bandar dan Desa 1976,” katanya.

Menurut mereka lagi, bagi memperoleh nasihat MPFN, ada beberapa syarat perlu dipatuhi seperti cadangan pembangunan bersama laporan penilaian kesan sosial, serta laporan-laporan lain, wajib disediakan terlebih dahulu.

Dalam kes ini, mereka berkata sebarang kelulusan terhadap projek itu mestilah mengambil kira pelbagai isu termasuklah perubahan iklim, kesan terhadap alam sekitar, ekosistem marin, sektor perikanan dan kesan sosioekonomi yang akan dihadapi nelayan di Pulau Langkawi dan kawasan sekitarnya.

Oleh itu, mereka menggesa kerajaan negeri Kedah melakukan analisis faedah dan kos yang terperinci, serta wajib mendapatkan maklum balas orang ramai sebelum membuat sebarang keputusan.

“Sekiranya permohonan ini dibenarkan tanpa pematuhan proses undang-undang dan penglibatan orang awam, tindakan tersebut boleh dianggap sebagai satu penyalahgunaan kuasa dan salah di sisi undang-undang,” kata mereka lagi. 


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS