Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Kerajaan digesa keluarkan SOP bagi calon SPM
Diterbitkan:  Feb 6, 2021 7:18 PM
Dikemaskini: 11:20 AM

Kerajaan digesa untuk mengeluarkan prosedur operasi standard (SOP) bagi pelajar Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tahun 2020 dengan segera.

Pengarah Urusan Brickfields Asia College Raja Singham berkata, ramai pihak sudah mula gusar akan impak Covid-19 terhadap persiapaan peperiksaan serta keselamatan pelajar yang bakal menduduki ujian terbabit.

“Pujian harus diberikan kepada Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) kerana telah memperkenalkan alternatif kepada proses pengajaran dan pembelajaran yang boleh dijalankan dari rumah. 

"Namun, garis panduan yang terperinci berkenaan peperiksaan SPM yang akan berlangsung pada bulan Februari ini masih belum dijelaskan.

“[...] Pekeliling mengenai SOP yang jelas perlulah dikeluarkan dengan segera supaya tidak menimbulkan kegusaran dalam kalangan guru, ibu bapa serta pelajar. 

"Contohnya, apakah yang perlu dilakukan sekiranya pelajar dan pekerja di kawasan sekolah disahkan positif?” soalnya dalam satu kenyataan media hari ini.

Meskipun yakin kerajaan akan berusaha memastikan tahap pematuhan SOP memuaskan sewaktu peperiksaan fizikal pada 22 Feb ini, Sigham juga berharap, KPM menyediakan rancangan lain bagi memastikan pendidikan pelajar tidak ketinggalan lagi.

Singham turut mencadangkan beberapa rancangan lain, antaranya untuk mewujudkan peperiksaan tambahan atau menggunakan penilaian pilihan ganda berdasarkan bank soalan automatik yang digunakan kepada pelajar sijil profesional.

Selain itu, dia juga mencadangkan kerajaan supaya mempertimbangkan penggunaan sistem peperiksaan dalam talian dengan menggunakan pengawasan maya.

“Kementerian lain seperti Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM), agensi kerajaan seperti Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC), syarikat telekomunikasi dan teknologi serta badan bukan kerajaan perlu mencari penyelesaian jangka masa panjang bagi membantu negara dalam memastikan kelangsungan pelajaran anak-anak bangsa,” jelas Raja.

Tambahnya, dia juga menyatakan, perlu ada sikap adil dan belas kasihan dalam membuat penilaian SPM tahun ini, melihat kepada kekangan dan cabaran pelajar dalam proses pengajaran dan pembelajaran.

“Selain daripada itu, peperiksaan yang akan diduduki oleh pelajar SPM kali ini perlu mengambil kira lanskap proses pengajaran dan pembelajaran mereka sebelum ini.

“Terdapat pelbagai kekangan dan cabaran semasa pengajaran dan pembelajaran di rumah (PdPR), terutama sekali disebabkan oleh ketiadaan kelas yang berjalan sempurna sepanjang tahun.

“Malah isu seperti ketiadaan akses kepada internet dan gajet, kesediaan guru untuk mengajar secara dalam talian, masalah kemurungan dan kesihatan mental juga boleh memberi kesan signifikan kepada calon peperiksaan,” tambahnya.

Menyifatkan peperiksaan bukanlah penentu masa depan pelajar, namun Raja mengatakan ia boleh menghalangi para pelajar untuk meneruskan kelangsungan akademik mereka.

“Oleh itu, perlu ada inisiatif segera daripada kita untuk mengatasi cabaran semasa pandemik ini berlaku,” kata Singham lagi. 

Untuk rekod, Kementerian Pendidikan akan menamatkan sesi persekolahan secara bersemuka bagi semua calon SPM dan Sijil Vokasional Malaysia (SVM) tahun 2020 pada 9 Februari ini.

Perkara itu dimaklumkan dalam satu pekeliling dikeluarkan Ketua Pengarah Pelajaran Habibah Abdul Rahim bertarikh 4 Feb.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS