Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Kedutaan bimbang ramai pekerja Nepal di M'sia mati dan bunuh diri
Diterbitkan:  Feb 6, 2021 2:50 PM
Dikemaskini: 6:55 AM

Seramai 284 pekerja Nepal meninggal dunia di Malaysia tahun lalu, angka kematian yang menimbulkan kebimbangan pegawai di kedutaan Nepal.

Daripada jumlah itu, 46 membunuh diri, kata setiausaha kedua Kedutaan Nepal di Kuala Lumpur, Pratik Karki, lapor Free Malaysia Today.

Pada 2019, 49 membunuh diri daripada sejumlah 298 kematian, dan pada 2018, jumlahnya 45 daripada 347 kematian, katanya.

"Kami mendapati kira-kira 20 kematian sebulan yang melibatkan warga Nepal, jadi ini juga membimbangkan," kata Pratik.

Kedutaan Nepal tidak dapat mengesahkan sekiranya perintah kawalan pergerakan faktor penyumbang utama.

Bagaimanapun, Pratik berkata terdapat satu kes seperti itu pada Disember lalu.

Katanya, permit pekerja berkenaan telah tamat kira-kira lapan bulan yang lalu dan dia mahu pulang kerana wabak itu tetapi terpaksa terus bekerja.

"Kami bertanya kepada majikan dan dia memberitahu kami memerlukan waktu lebih lama untuk mendapatkan visa keluar daripada Jabatan Imigresen semasa wabak.

"Dia diberitahu terdapat kekurangan kakitangan kerana ramai yang bekerja dari rumah," katanya.

Pratik menyoal mengapa visa keluar ditangguhkan apabila kerajaan telah membekukan pengambilan semua pekerja asing dan juga tidak memperbaharui izin kerja sedia ada.

Pratik juga berkata dia ragu-ragu tentang kebenaran punca kematian pekerja Nepal yang dikatakan 'membunuh diri' pada sijil kematian mereka.

"Bagaimanapun, oleh kerana ia dokumen rasmi, kedutaan mesti menerimanya," katanya.

Dia juga percaya sebilangan pekerja mungkin terdorong untuk membunuh diri kerana kecewa apabila tidak mendapat seperti apa yang dijanjikan sebelum datang bekerja ke Malaysia.

Pekerja perlu diberi taklimat dengan jujur termasuk mengenai tekanan pekerjaan di Malaysia sebelum meninggalkan Kathmandu, kata Pratik.

"Bagaimanapun, saya yakin pihak majikan dan ejen di sini juga perlu mengambil tanggungjawab untuk memastikan mereka (pekerja) bersedia secara mental dan emosi supaya dapat bertahan," katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS