Sesetengah bekas pesakit Covid-19 terus menunjukkan beberapa simptom sehingga tiga bulan selepas dibenarkan keluar dari hospital, kata perunding penyakit berjangkit Hospital Sungai Buloh Dr Suresh Kumar Chidambaram.
Hal itu, tambahnya, lebih banyak berlaku pada bekas pesakit yang mengalami masalah serius atau pernah ditempatkan di unit rawatan rapi (ICU).
Namun, katanya, mereka yang mengalami kes ringan Covid-19 juga mengalami gejala yang berterusan walaupun tidak lagi membawa ancaman untuk menular.
"Kami tahu ada pesakit terus mempunyai gejala yang berterusan walaupun selepas pulih daripada Covid-19," katanya pada sidang media dalam talian yang diadakan Kementerian Kesihatan Malaysia petang tadi.
Suresh Kumar menjelaskan empat gejala paling lazim berterusan untuk tempoh itu ialah kelesuan, sesak nafas, sakit dada dan batuk.
"Simptom ini boleh berlanjutan sehingga tiga bulan untuk sesetengah kumpulan pesakit," katanya.
Hospital Sungai Buloh hingga awal tahun ini adalah satu-satunya hospital Covid-19 di Selangor. Ia terus menerima pesakit yang dijangkiti secara eksklusif.
Suresh berkata Perkhidmatan Khas Pemulihan Pesakit Luar (Cross) hospital itu terus memantau pesakit yang teruk setelah mereka dibenarkan pulang selepas pulih.
Jika mengalami gelaja berterusan, katanya, bekas pesakit terbabit dikehendaki membuat pemeriksaan susulan.
Sementara itu, Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah berkata kementerian mendapati tahap antibodi bekas pesakit Covid-19 ringan adalah sangat rendah.
Ini bermakna mereka masih perlu diberi vaksin.
"Kami melihat mereka yang mendapat jangkitan di kategori 1 (asimtomatik) dan kategori 2 (sedikit simptomatik), tindak balas antibodi mereka mungkin tidak dikesan setelah tiga bulan.
“Kami melakukan kajian pengawasan di sebuah madrasah. Setelah tiga bulan, (tahap) antibodi yang dikesan hanya 20 peratus,” katanya.
Justeru katanya jika antibodi tidak dikesan pada tubuh bekas pesakit terbabit kementerian akan mencadangkan agar mereka diberi suntikan vaksin.
Pada masa sama kata Noor Hisham antibodi ada dikesan pada individu yang pulih daripada kes serius.