Vokalis Akim and The Majistret, Akim Ahmad, meluahkan rasa marah sambil menafikan dakwaan seorang pempengaruh (influencer) luar negara yang berkata lakonannya untuk muzik video kumpulan itu dipotong kerana sikap cemburu isteri penyanyi terbabit, Stacy Anam.
Akim atau nama sebenarnya, Afiq Hakim Ahmad, menjelaskan dia bertindak menukar jalan cerita serta membuang semua lakonan pempengaruh kacukan Jermen-Vietnam, Jade Anh, dalam muzik video Rampas kerana beranggapan ia tidak bertetapan dengan inspirasi lagu terbabit.
“Rampas itu tulisan khas atas pemergian orang yang paling aku sayang, ibu aku. Dengan muzik yang pada aku agak sensitif dan keterlaluan, aku rasa tak sesuai untuk aku keluarkan.
“Jadi, aku amik (ambil) keputusan untuk tukar semua konsep kepada yang boleh ditonton untuk semua sebab aku masih berpegang pada adat dan budaya timur.
“Aku sudah kehilangan ibu aku, kalau keluarkan muzik video yang keterlaluan pada pandangan mata orang Asia, apa pula pandangan kekecewaan yang akan aku dapat daripada ayah aku? Aku tak nak kecewakan ayah dan keluarga.
“Ini bila kita sudah beritahu jalan cerita sesebuah lagu sudah dibincangkan tapi tetap nak buat sesuatu atas sebab ‘seni’ sebab nak kepuasan nafsu sendiri dalam berkarya, siapakah?” ciap Akim di akaun Twitter petang ini.
Kata Akim lagi, dia turut kecewa kerana isu itu dibangkitkan Anh pada hari ulang tahun perkahwinannya yang kelima bersama Stacy.
“Hari ini ulang tahun perkahwinan aku, kau kacau keluarga aku? Kau rasa kau siapa sial?” tulisnya lagi.
Terdahulu, Anh yang juga merupakan seorang model yang menetap di Bangkok, Thailand memuat naik satu status di Twitter menceritakan tindakan sebuah "kumpulan muzik" tempatan memotong lakonannya dalam video muzik disebabkan sikap cemburu isteri vokalis kumpulan tersebut.
Dalam ciapannya, Anh berkata, dia terbang ke Malaysia bagi melunaskan tanggungjawabnya menjayakan penggambaran video muzik dengan sebuah kumpulan tempatan.
Namun selepas pulang ke Bangkok dia dimaklumkan bahawa semua babak lakonannya dalam muzik video itu terpaksa dipotong kerana masalah cemburu.
Takkan datang Malaysia lagi
Dia turut meluahkan kekecewaan kerana semua kru terlibat termasuk pengarah telah meletakkan sepenuh komitmen dan usaha bagi menghasilkan muzik video berkenaan.
Bagaimanapun, Anh tidak mendedahkan nama kumpulan tersebut. Ia mula hangat di media sosial selepas Akim muncul dengan reaksinya menafikan dakwaan model itu.
Setelah berlaku sesi balas-membalas di Twitter, Anh bertindak memadam kenyataanya dan turut memberikan bukti susulan dakwaan terdahulunya.
“Maaf saya terketar kerana berasa sangat marah. Ini lelaki yang bertanggungjawab dalam muzik video tersebut dan tengok tarikhnya.
“[tetapi dakwaan] cemburu ada dinyatakan dalam telefon bukan mesej. Saya tahu ada antara kalian mungkin kata saya tiada bukti,” ciapnya.
Selain itu, Anh turut meluahkan rasa berang akan tindakan netizen yang mengecamnya.
“Saya hanya menciap tentang masa lalu dan kalian jadikan ia lebih teruk dan ia bukan niat asal saya untuk jadikan sebegini.
“Saya bosan. Saya tidak akan ke Malaysia lagi kerana komen anda (netizen) jelas menunjukkan saya tidak dialu-alukan,” ciapnya lagi.