Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Polis siasat buku Tommy Thomas, penerbit ‘menghadap’ Bukit Aman

Polis mula menjalankan siasatan berhubung My Story: Justice In The Wilderness dengan mengambil keterangan penerbit memoir ditulis bekas peguam negara itu.

Siasatan berkenaan dijalankan selepas pihak berkuasa menerima banyak aduan mengenainya, selain pelbagai kritikan disuarakan pihak tertentu termasuk individu yang dinyatakan dalam buku dihasilkan Tommy Thomas tersebut.

Bercakap kepada Malaysiakini petang ini, pengasas Gerakbudaya, Chong Ton Sin, berkata dia disoal siasat lebih kurang sejam di ibu pejabat polis di Bukit Aman, Kuala Lumpur.

"Saya tak ingat disiasat jabatan mana. Pegawai terbabit hanya bertanyakan soalan biasa, seperti dari mana saya mendapat kandungan buku itu dan di mana ia dicetak.

“Bagaimanapun saya tidak dimaklumkan saya disiasat mengikut seksyen berapa," katanya.

Pihak berkuasa juga menyiasat Thomas atas tuduhan memfitnah susulan laporan polis yang dibuat oleh bekas peguam cara III Mohamad Hanafiah Zakaria. 

Meskipun Peguam Negara Idris Harun menyifatkan memoirnya tersebut sebagai menghina institusi perundangan, Thomas memilih untuk berdiam diri selepas berdepan kritikan tersebut. 

My Story: Justice In The Wilderness itu juga kini berkemungkinan diharamkan oleh pihak berkuasa.

Memetik sumber yang tidak dinamakan portal Free Malaysia Today melaporkan Bahagian Penguatkuasaan dan Kawalan Kementerian Dalam Negeri (KDN) sedang meneliti kandungan buku tersebut.

Setelah selesai, mereka akan mengemukakan laporan kepada Menteri Dalam Negeri Hamzah Zainudin.

Ditanya berhubung siasatan KDN, Chong mendedahkan bahawa pegawai KDN ada membeli buku berkenaan.

Dia juga mendedahkan bahawa satu laporan polis dibuat di Sepang dan petugas pihak berkuasa perlu membeli buku itu dari Gerakbudaya bagi tujuan siasatan mereka.

“Mereka harus membeli buku itu melainkan ada surat rasmi,” katanya dengan menambah Gerakbudaya akan terus menjual buku berkenaan. 


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS