Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Ziarah tahun Baru Cina, sembahyang di tokong tak dibenarkan
Diterbitkan:  Feb 4, 2021 5:46 PM
Dikemaskini: 10:53 AM

Tahun Baru Cina secara tradisinya adalah masa untuk perjumpaan semua ahli keluarga, tetapi tahun ini, amalan kunjung-mengunjungi atau aktiviti ziarah serta upacara keagamaan adalah tidak dibenarkan memandangkan penularan wabak Covid-19.

Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Ismail Sabri Yaakob berkata perayaan atau sambutan akan terhad kepada anggota keluarga dari isi rumah yang sama sahaja.

"Aktiviti makan besar bersama ahli keluarga hanya boleh dibuat di dalam rumah bersama ahli keluarga di dalam rumah itu sahaja.

"Upacara sembahyang di tokong juga tidak dibenarkan dan mesyuarat khas hari ini memutuskan hanya lima ahli jawatankuasa tokong dibenarkan melakukan upacara itu," katanya pada sidang media di Kuala Lumpur, hari ini.

Sebaliknya, Ismail Sabri berkata, orang ramai digalak melakukan upacara sembahyang di kediaman masing-masing.

Dia berkata, semua lawatan, perjalanan rentas daerah dan negeri  juga adalah dilarang sama sekali.

Malah, katanya, persembahan dan kebudayaan yang lazim seperti tarian singa, tarian naga, perarakan tanglung, persembahan opera Cina dan pertunjukan pentas juga tidak dibenarkan

"Prosedur operasi standard (SOP) ini pernah kita lakukan sewaktu Hari Raya Aidilfitri, begitu juga Deepavali. 

"Bagaimanapun, untuk Sarawak kita serahkan kepada kerajaan negeri untuk umumkan kerana di sana ada (kawasan) PKP, ada PKPB ," katanya.

Mengikut jadual PKP 2.0 sepatutnya berakhir pada tengah malam ini tetapi telah dilanjutkan sehingga 18 Februari.

Tahun Baru Cina jatuh pada 12 dan 13 Februari tahun ini dan secara tradisional disambut selama 15 hari.

[Baca berita penuh]


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS