Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Covax dijangka bekal 1.6j dos vaksin pada Malaysia menjelang Julai
Diterbitkan:  Feb 4, 2021 10:33 AM
Dikemaskini: 2:33 AM

Malaysia dijangka menerima 1,624,800 dos vaksin Covid-19 AstraZeneca menerusi Fasiliti Akses Global Vaksin Covid-19 (Covax), menjelang pertengahan pertama tahun ini.

Angka itu berdasarkan ramalan pengagihan sementara yang dikeluarkan oleh Pakatan Vaksin Global (Gavi) malam tadi, bertujuan membantu negara-negara peserta merancang pelancaran vaksin masing-masing.

Angka itu bersifat petunjuk dan tertakluk kepada perubahan ekoran beberapa kaveat, termasuklah sama ada vaksin itu mendapat kelulusan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), dan sama ada bekalan sebenar vaksin mungkin berubah ekoran kekangan pengeluaran dan kekangan lain ataupun tidak.

Peruntukan sebenar buat Malaysia dan beberapa negara peserta yang lain hanya akan diumumkan setelah WHO mendapat Daftar Pengguna Kecemasan (EUL) untuk vaksin AstraZeneca.

“Penghantaran sebenar setelah peruntukan bergantung kepada giliran negara-negara di dalam pelan penghataran, masa yang diambil untuk membuat tempahan, tanggungjawab undang-undang/peraturan, serta masa tunggu pembekal dan logistik berkaitan,” katanya di dalam ramalan itu.

Sementara itu, Reuters memetik pegawai WHO Ann Lindstrand berkata WHO berharap dapat menerima dos berkenaan pada lewat Februari atau awal Mac.

Gavi mengendalikan Covax secara bersama dengan WHO dan Gabungan Inovasi Kesediaan Epidemik (Cepi).

Berdasarkan dokumen itu semalam, vaksin yang dibeli Malaysia menerusi Covax akan datang daripada SK Bioscience di Korea Selatan, yang bersetuju membantu AstraZeneca menambah bekalan vaksinnya pada Julai tahun lalu.

Pengeluar lain yang membekalkan vaksin AstraZeneca kepada Covax ialah Serum Institute of India. Vaksin Covid-19 Pfizer-BioNTech turut boleh didapatkan menerusi Covax dan sudah mendapat EUL daripada WHO.

Secara keseluruhan, ramalan tersebut menyenaraikan pengagihan petunjuk sebanyak 336 juta dos vaksin AstraZeneca, dan peruntukan 1.2 juta dos vaksin Pfizer-BioNTech, kepada 145 negara peserta.

Secara purata, setiap negara dijangka menerima dos yang mencukupi untuk meliputi 3.3 peratus daripada populasi mereka menerusi Covax menjelang pertengahan pertama 2021. Malaysia akan menerima bekalan yang cukup untuk 2.5 peratus populasi.

Malaysia merupakan negara peserta yang mambiayai kos sendiri di dalam Covax. Covax mahu memastikan vaksin Covid-19 diagihkan secara adil ke semua negara tetapi berdepan kesukaran untuk mendapat pembiayaan yang diperlukan.

Pengerusi bersama Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Vaksin Covid-19, Khairu Jamaluddin sebelum ini berkata Malaysia menyertai Covax sebagai pelan B ekoran kebarangkalian bahawa fasiliti itu mungkin berdepan kegagalan, meskipun jawatankuasa itu menyambut baik objektif Covax untuk mengatasi pandemik itu menerusi setiakawan global.

Malaysia sudah menempah bekalan vaksin menerusi Covax, yang hanya cukup untuk meliputi 10 peratus populasinya, iaitu tempahan minimum

Untuk rekod, Malaysia mempunyai perjanjian langsung berasingan dengan AstraZeneca untuk 6.4 juta dos lagi.

Tambahan pula, Malaysia sudah menandatangani perjanjian untuk memperoleh 24.28 juta dos vaksin Pfizer-BioNTech, 12 juta dos vaksin Sinovac, dan 6.4 juta dos vaksin Gamaleya Institute.

Malaysia juga dalam rundingan akhir dengan CanSino Biologics untuk perolehan 3.5 juta dos vaksinnya. Tidak seperti vaksin-vaksin lain yang memerlukan dua dos untuk berkesan, vaksin CanSino Biologics dicipta untuk berkesan hanya selepas satu dos sahaja.

Malaysia dijangka menerima satu juta dos vaksin Pfizer-BioNTech dalam suku pertama tahun ini, bermula 26 Feb, dan 1.7 juta dos lagi pada suku kedua.

Pharmaniaga, yang bekerjasama dengan Sinovac untuk membekalkan vaksin kepada kerajaan, berharap dapat memulakan penghantaran pada Mac.

Malaysia berharap dapat memvaksin sekurang-kurangnya 70 peratus populasi dalam jangka masa 18 bulan bagi mencapai keimunan kelompok terhadap penyakit itu.

Bagaimanapun, hanya78 peratus populasi yang layak divaksin buat masa ini, sehinggalah ada kajian lanjut yang membuktikan vaksin yang ada selamat dan berkesan untuk golongan bawah 18 tahun.

[Baca berita asal]


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS