Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Ganggu guru dengan video lucah ketika PdPR perbuatan biadab - PIBGN

Tindakan murid menganggu guru dengan tayangan video lucah ketika pelaksanaan pengajaran dan pembelajaran di rumah (PdPR) adalah perbuatan biadab yang melampau.

Presiden Majlis Permuafakatan Persatuan Ibu Bapa dan Guru Nasional (PIBGN), Mohamad Ali Hasan, berkata perbuatan melampau itu perlu "diperangi" agar pelajar lebih berakhlak dan menghormati guru.

"Ketidakwajaran pelajar-pelajar menayangkan perkara gangguan melampau seperti video, gambar lucah dan lain-lain semasa guru menjalankan PdPR adalah satu perkara yang biadab, perlu dihentikan serta merta serta tindakan tuntas pembanterasan ke akar umbi.

"Pelajar-pelajar berkenaan bukan sahaja tidak menghormati guru yang menyampaikan ilmu tetapi juga menghalang rakan-rakan lain yg ingin menikmati pendidikan yang amat diperlukan masa kini.

"Langkah guru memaksa berhentikan pengajaran tersebut dipuji, dianggap sebagai langkah profesional dan boleh dicontohi warga pendidik lain," katanya kepada Malaysiakini, hari ini.

Terdahulu, Malaysiakini melaporkan guru berdepan dengan gangguan lucah oleh segelintir "murid nakal" ketika bertugas dengan norma baru PdPR.

Bagi seorang guru dari sebuah sekolah di Kepong yang mahu dikenali sebagai Cikgu N, mendedahkan dia diganggu dengan tayangan video lucah oleh pelajar ketika sesi PdPR berlangsung.

"Murid mengganggu proses PdPR yang menggunakan platform Google meet dengan menyiarkan video lucah.

"Perkara ini dilakukan oleh murid tingkatan satu, mereka berani berbuat demikian kerana mereka belum bersemuka dengan guru," katanya kepada Malaysiakini.

Apabila berdepan dengan gangguan sebegitu, kata Cikgu N, dia terpaksa menghentikan sesi PdPR.

Dalam pada itu, Mohamad berharap ibu bapa serta guru perlu memberi perhatian dengan mengawasi kegiatan murid.

"Apakah ibu-bapa, penjaga tidak langsung ambil berat atau pantau anak-anak mereka semasa PdPR? Sasaran kelihatannya kebanyakan kepada guru-guru wanita, dan dipercayai termasuk guru-guru lelaki.

"Jenayah ini tidak boleh dianggap sepi dan semua pihak ada tanggungjawab mengambil langkah-langkah patut dan segera.

"Sesungguhnaya kebiadaban dan gangguan melampau ini perlu diperangi bersama agar generasi pelajar kita dapat akses pendidikan berkualiti, khasnya semasa PdPR ini," katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS