Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Kemelut PKP: 'Dia asyik rayu mahu pindah masuk, apa harus kita buat’

Pengurusan sebuah kondominium di Cheras, Kuala Lumpur, berada dalam dilema susulan seorang penyewa baru ingin pindah semasa pelaksanaan perintah kawalan pergerakan (PKP).

Bercakap kepada Malaysiakini, presiden jawatankuasa penduduk berkata, prosedur operasi standard (SOP) tidak jelas dan untuk memburukkan lagi keadaan, pihak berkuasa mempunyai tafsiran yang berbeza terhadap peraturan itu.

Hanya mahu dikenali sebagai Mok, dia berkata, penyewa berkenaan tidak dapat berpindah pada tarikh yang dipersetujui kerana pelaksanaan PKP.

Memandangkan perjanjian penyewaan di kediaman lamanya sudah luput tempohnya, lelaki itu berulang kali memohon kepada pihak pengurusan untuk mengizinkannya untuk berpindah masuk agar tidak perlu membayar sewa untuk dua tempat.

Namun, oleh kerana jawatankuasa tersebut tidak mahu melanggar SOP, dia dinasihatkan untuk mendapatkan kebenaran daripada pihak polis.

Mok berkata semasa di balai polis, lelaki itu diberitahu bahawa dia memerlukan kebenaran pihak pengurusan kondominium berkenaan dan bukan dariapada pihak polis.

Menurut SOP PKP 2.0 yang diterbitkan oleh Majlis Keselamatan Nasional (NSC), memindah rumah di semua bangunan hak milik strata adalah dilarang.

Mengulas lanjut, Mok berkata, pihak pengurusan khuatir jika mereka membenarkan penyewa berpindah, akan timbul reaksi balas dari penduduk lain atau mereka akan dilayangkan kompaun kerana melanggar SOP.

“Kami tegas tidak membenarkannya berpindah masuk masuk tetapi dia datang merayu setiap hari. Apa harus kami lakukan?

"Akhirnya, kami memintanya untuk menjalani ujian calitan untuk membuktikan bahawa dia adalah negatif Covid-19. Kami merasakan bahawa tidak adil untuk memaksanya melakukan ujian saringan tetapi tidak ada alternatif lain.

"Bahkan penyewa itu mungkin boleh saman kami kerana memaksanya melakukan ujian," tambahnya.

Mok berkata, kerajaan harus jelas dan konsisten ketika melaksanakan dasar-dasar berkaitan dengan PKP dan bukannya menolak beban kepada pihak lain supaya menggunakan budi bicara mereka tetapi akhirnya menanggung akibatnya.

Ng Wei Aik, seorang pengurus hartanah berdaftar dan bekas wakil rakyat DAP, memberitahu Malaysiakini bahawa mereka yang perjanjian penyewaannya luput dalam tempoh PKP akan mendapati diri mereka berada dalam masalah.

"Pemilik tidak akan senang jika penyewa tidak berpindah keluar.

“Apabila mereka ke balai polis, ada bermacam-macam reaksi. Ada balai yang memberi permit dan ada pula yang suruh merujuk kepada pihak pengurusan kondominium,” katanya.

[Baca berita penuh]


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS