Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Covid-19: K'jaan terlalu memihak golongan atasan, kata Anwar

Kerajaan Perikatan Nasional (PN) hari ini dilihat gagal melaksanakan ujian saringan secara lebih menyeluruh di seluruh negara bagi mengesan penularan wabak Covid-19 dengan lebih berkesan.

Presiden PKR, Anwar Ibrahim, berkata kegagalan itu termasuk memastikan pemilik syarikat-syarikat besar membuat saringan ke atas setiap pekerjanya bagi memastikan mereka selamat daripada risiko dijangkiti Covid-19 di tempat kerja.

Anwar yang juga pengerusi Pakatan Harapan (PH) berkata kegagalan itu berlaku kerana kerajaan PN terlalu memihak kepada golongan kaya dan atasan.

Katanya, golongan kaya-raya itu merujuk kepada pemilik-pemilik kilang dan syarikat-syarikat besar sedia ada dalam negara ini.

"Penularan wabak Covid-19 ini sudah ke tahap merunsingkan, angka-angka yang mencecah 4,000 hingga 5,000 itu sudah jadi satu kelaziman.

"Ini maknanya, 5,000 keluarga atau lebih akan terkesan dan oleh yang demikian kita harus bukan sahaja setakat mendengar kuliah atau penjelasan tetapi juga membahaskannya kerana ini menyentuh kehidupan rakyat dan kesihatan rakyat semua negeri, daerah dan kampung.

"Oleh yang demikian, saya ingin menegaskan apa yang kita jelaskan dan gesa sejak lebih setahun yang lalu, iaitu pertamanya, pastikan ujian itu lebih meluas," katanya dalam sesi siaran langsung di Facebook sebentar tadi.

Anwar menambah ujian saringan bersasar perlu ditumpukan di tempat munculnya penyakit itu menularnya seperti kilang atau tempat sesak.

Menurut ahli parlimen Port Dickson itu lagi, tidak ada yang mustahil untuk golongan kaya terbabit melaksanakan ujian saringan terhadap pekerja mereka.

Namun, bagi pengusaha kecil dan sederhana, katanya, bantuan kerajaan tetap diperlukan.

"Ada kilang yang untungnya berbilion ringgit, tak bolehkah kita wajibkan kilang itu buat saringan kepada semua pekerjanya, sama ada dia positif atau tidak?

"Yang mana negatif kita benarkan dia bekerja dan yang mana sebaliknya kita kuarantin, kemudian kita buat saringan lagi dan ini mampu dilakukan oleh syarikat-syarikat yang kaya.

"Yang tidak, bolehlah kerajaan memberikan pertimbangan untuk menampung kekurangan mereka terutama yang kategori SME, yang kadang-kadang merangkak untuk berjaya," katanya.

Terdahulu Anwar mengulas keperluan untuk negara membuat ujian saringan secara menyeluruh negara.

Tambahnya, keperluan negara kini bukan sahaja mengawal merebaknya wabak Covid-19 dan ia bukan merupakan tanggungjawab kerajaan semata-mata.

Sebaliknya, dia setuju ia juga tanggungjawab rakyat.

"Kita minta umpamanya jawatankuasa surau, masjid, PIBG (persatuan ibu bapa dan guru) dan semua persatuan ini perlu aktif untuk menjaga masalah kesihatan awam.

"Masalah kesihatan awam ini kadang-kadang dipandang ringan, ini bukan soal hospital dan ubat dan vaksin tetapi kita sendiri mengadakan benteng untuk mengelakkan penularan jangkitan Covid-19 ini dan memastikan kita ikut pembatasan atau penjarakan fizikal," tambahnya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS