Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Bekas peguam cara negara lapor polis terhadap Thomas, dakwa difitnah
Diterbitkan:  Feb 3, 2021 2:07 PM
Dikemaskini: 7:21 AM

Bekas peguam cara negara III Mohamad Hanafiah Zakaria membuat laporan polis terhadap bekas bosnya Tommy Thomas susulan tulisannya dalam memoir My Story: Justice In The Wilderness.

Hanafiah semalam membuat laporan polis dengan mendakwa memfitnah bekas peguam negara itu memfitnahnya.

Thomas, dalam memoirnya, berkata dia tidak yakin Hanafiah dan ketua pendakwaan Manoj Kurup mampu memimpin dan mengawasi persiapan untuk perbicaraan SRC International.

Thomas berpendapat bahawa kedua-duanya lebih selesa dengan tugas pentadbiran, memandangkan kekananan mereka dalam organisasi birokrasi.

Thomas menambah dia mengharapkan prestasi bertaraf dunia, tetapi tidak dapat mencari seorang pegawai dalam Jabatan Peguam Negara dengan pengalaman, kepakaran dan kemampuan mencukupi untuk memimpin kes tersebut.

Hanafiah, dalam laporan polisnya, berkata pandangan Thomas dalam memoir tersebut menggambarkan dia tidak berkemampuan.

Sebaliknya, Hanafiah berkata, dia telah menyediakan pasukan timbalan pendakwa raya terbaik untuk menyiapkan pertuduhan terhadap bekas perdana menteri Najib Abdul Razak.

Hanafiah menambah bahawa Thomas sendiri ingin memimpin kes tersebut sebagaimana konvensyen dalam kes-kes berprofil tinggi.

"Tidak ada pada bila-bila Thomas memberitahu saya bahawa saya akan mengetuai pasukan pendakwaan kes SRC atau dia memberitahu saya bahawa dia berpendapat bahawa saya tidak keupayaan untuk mengetuai pasukan tersebut,” katanya dalam laporan itu.

Sebaliknya, Hanafiah mendakwa ketidakupayaan Thomas menyebabkannya melantik peguam V Sithambaram untuk membantu dalam perbicaraan tersebut.

Hanafiah juga mendakwa bahawa Thomas hanya mencari alasan untuk melantik peguam-peguam yang juga merupakan “kawannya”.

"Oleh itu, penulisan Thomas dalam bukunya adalah tidak benar sama sekali dan memburukkan imej saya sebagai seorang timbalan pendakwa raya yang telah berkhidmat selama 33 tahun.

"Ia seolah saya adalah seorang timbalan pendakwa raya yang malas dan tidak berupaya untuk menjalankan kes pendakwaan tersebut," katanya.

Hanafiah dalam laporan polis, meminta polis agar menyiasat Thomas bawah Seksyen 499 Kanun Keseksaan atas kesalahan fitnah.

Katanya, bahawa Thomas bukan sahaja memfitnah dia, tetapi juga pegawai-pegawai Jabatan Peguam Negara dan institusi itu.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS