Bekas menteri besar Negeri Sembilan Mohd Isa Abdul Samad hari ini dijatuhkan hukuman penjara selama enam tahun dan denda RM15.45 juta selepas didapati bersalah dalam sembilan pertuduhan rasuah.
Hakim Mohd Nazlan Mohd Ghazali membuat keputusan bahawa Mohd Isa dihukum penjara bagi setiap satu kesalahan yang disabitkan. Bagaimanapun hakim membenarkan semua hukuman penjara itu berjalan serentak.
Bagi hukuman denda, Mohd Isa boleh dikenakan hukuman penjara bagi setiap kesalahan jika gagal melunaskannya.
Kata hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur itu pihak pembelaan Mohd Isa gagal menimbulkan keraguan munasabah ke atas kes yang dibawa pihak pendakwaan.
Isa sebelum ini dihadapkan dengan sembilan pertuduhan menerima rasuah untuk dirinya sendiri. Dia didakwa menerima wang bernilai RM3.09 juta daripada anggota Lembaga Pengarah Gegasan Abadi Properties Sdn Bhd, melalui Muhammad Zahid Md Arip.
Habuan berkenaan diberi kepada Mohd Isa sebagai imbuhan atas bantuannya meluluskan Hotel Merdeka Palace & Suites berharga RM160 juta.
Hotel yang terletak di Kuching, Sarawak itu dibeli oleh Felda Investment Corporation Sdn Bhd (FICSB).
Bagaimanapun hakim membenarkan permohonan pihak pembelaan agar pelaksanaan hukuman dan denda itu ditangguhkan sehingga rayuan kes diputuskan Mahkamah Rayuan selepas ini.
Semasa membacakan keputusannya Mohd Nazlan berkata dia menetapkan hukuman sebegitu untuk memberi peluang kepada tertuduh melakukan pemulihan dan juga pengajaran - temasuk orang lain - supaya tidak melakukan kesalahan sama.
"Mahkamah mengambil maklum latar belakang tertuduh dan rekod pentadbiran serta penglibatannya dalam politik negara di mana tertuduh telah berkhidmat sebagai menteri besar selama dua dekad dan juga sebagai menteri kabinet," katanya.
Mohd Nazlan juga menetapkan agar wang ikat jamin ke atas Mohd Isa naikkan kepada RM1.5 juta berbanding RM800,00 yang ada sekarang.
Hakim membenarkan wang ikat jamin itu dibayar selewat-lewatnya jam 2 petang esok.
"Tertuduh juga perlu melaporkan diri di balai polis berdekatan setiap 1 haribulan sehingga rayuan selesai," kata hakim itu.
Mohd Isa diwakili peguam Salehudin Saidin.
'Zahid mahu dedah kebenaran'
Dalam penghakimannya, Nazlan berkata mahkamah tidak dapat menerima pelbagai hujahan pasukan pembelaan, antaranya yang Zahid hanya mahu membabitkan Isa dengan rasuah.
Dia membangkitkan keterangan Isa sendiri berkenaan Zahid, yang menjadi pegawai khasnya sejak 2011 hingga 2016, yang membayangkan Zahid mematuhi setiap arahan Isa.
Maka, kata Nazlan, berdasarkan keterangan tertuduh sendiri, tiada sebab untuk Zahid membabitkan tertuduh kecuali atas tujuan mendedahkan kebenaran berkenaan "suapan-suapan" yang diterimanya daripada SP16 (saksi pendakwaan ke-16, Ikhwan) melalui SP21 (saksi pendakwaan ke-21, Zahid).
Kata Nazlan lagi, mahkamah juga tidak dapat menerima hujah pembelaan yang Zahid dibayar RM2 juta sebagai penghargaan menjadi penghubung dalam penjualan dan pembelian hotel.
Katanya, ini kerana hujah pembelaan bertentangan dengan keseluruhan bukti perbicaraan.
Dia juga berkata pasukan pembelaan tidak membangkitkan isu tersebut ketika Zahid memberi keterangan semasa peringkat pendakwaan kes ini.
"Apa-apa pun, walaupun jika (dakwaan) pengakuan SP21 menerima RM2 juta adalah benar, ia tidak menidakkan yang tertuduh menerima wang suapan RM3.09 juta," kata Nazlan.