Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
PKP 2.0: Kelantan sedia bantuan hampir RM3 juta
Diterbitkan:  Feb 2, 2021 6:27 PM
Dikemaskini: 10:27 AM

Kerajaan Kelantan melalui pakej bantuan khas berkala menyalurkan bantuan bernilai hampir RM3 juta kepada rakyat yang terkesan dengan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 2.0.

Menteri Besar Ahmad Yakob berkata, pihaknya sentiasa memantau rapi perkembangan dan kesan penularan wabak Covid-19 di seluruh negeri Kelantan.

Justeru katanya, pihaknya bersetuju melaksanakan pakej bantuan khas berkala membabitkan bantuan keperluan asas makanan dan insentif tunai peniaga dan penjaja kecil.

"Peruntukan sebanyak RM1.8 juta atau RM40,000 bagi setiap dewan undangan negeri (DUN) bagi rakyat yang terkesan melalui 45 pusat khidmat melibatkan bantuan keperluan asas makanan.

"Insentif tunai peniaga kecil dan penjaja kecil pula melibatkan peruntukan sebanyak RM1.125 juta atau RM25,000 kepada peniaga kecil dan penjaja kecil yang layak bagi setiap DUN," katanya dalam kenyataan media di Kota Bharu, hari ini.

Terdahulu, Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Ismail Sabri Yaakob mengumumkan tempoh pelaksanaan PKP 2.0 dilanjutkan sehingga 18 Februari di seluruh negara kecuali Sarawak.

Sementara itu Ahmad berkata sehingga saat ini, negeri Kelantan belum bebas daripada jangkitan wabak Covid-19 dan kerajaan negeri melalui Jawatankuasa Kerja Keselamatan Khas Negeri mengambil pelbagai usaha dan langkah proaktif secara bersepadu untuk membendung penularan wabak Covid-19 di negeri ini.

"Kerajaan negeri amat prihatin terhadap kebajikan rakyat yang terkesan dengan pelaksanaan PKP 2.0 yang terpaksa dilaksanakan bagi membendung penularan wabak Covid-19 diseluruh negara," katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS