Pesuruhjaya Polis Sabah, Hazani Ghazali hari ini mempertahankan keputusan pegawainya untuk mengeluarkan denda RM1,000 ke atas lapan individu yang membuat perjalanan bersama untuk membeli makanan.
Menurut Free Malaysia Today, lapan orang - termasuk pemandu 'kereta sapu' - dalam perjalanan pada 27 Januari dari sebuah kampung pedalaman yang tidak disebutkan namanya ke bandar Tenom ketika mereka dikenakan denda.
Hazani memberitahu wartawan di Kota Kinabalu hari ini bahawa pemandu seharusnya memberi nasihat kepada penduduk kampung agar tidak melanggar larangan perjalanan atau menawarkan untuk membuat perjalanan secara berasingan.
“Saya sangat bersimpati kepada penduduk kampung ini, mereka tidak tahu sangat (berkenaan SOP) tetapi oleh kerana si pemandu kereta sapu yang mahu mengaut untung lebih, polis kena ambil tindakan,” katanya seperti dilapor.
Hazani berkata video tular mengenai kejadian itu solah-olah "provokasi" terhadap polis.
Jelasnya, polis sering menggunakan budi bicara ketika menjalankan tugas.
Menurut Free Malaysia Today, yang bercakap dengan beberapa penduduk kampung, mereka yang didenda menaiki kenderaan, yang digambarkan sebagai "bas" dengan kapasiti 13 penumpang, untuk membeli bekalan di Tenom.
Pemandu Ruil Taligi berkata, pada awalnya dia tidak mahu melebihi had 50 peratus penumpang yang dikenakan dalam tempoh perintah kawalan pergerakan (PKP) tetapi merasa kasihan kepada penduduk kampung yang perlu pergi ke Tenom untuk mendapatkan bekalan.
"Polis memberitahu saya bahawa saya telah melebihi had muatan. Saya sudah memberitahu mereka (penumpang) tetapi mereka masih mahu datang, dan saya merasa kasihan kepada mereka.
"Saya meminta polis yang bertugas di sekatan jalan untuk membiarkan kami memberi amaran atau hanya memberi denda kepada saya sahaja dan bukan penumpang, kerana mereka orang miskin dan hanya ingin membeli barang keperluan.
"Tetapi pegawai itu masih mengarahkan kami untuk pergi ke ibu pejabat polis daerah," katanya.