Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Wanita Mongolia didakwa mangsa rogol raih dana, nak saman lagi bekas polis

Kes saman warga Mongolia terhadap seorang anggota polis yang didakwa merogolnya difahamkan masih mempunyai peluang lain untuk diteruskan melalui tindakan sivil.

Ini susulan kempen kutipan dana dalam talian yang berjaya meraih sebanyak RM46,500 membolehkan wanita itu memfailkan semula samannya di Mahkamah Sesyen.

Peguam wanita warga Mongolia itu, Mathew Thomas Philip, telah memulakan kempen kutipan dana dalam talian bagi mengumpul RM46,500 sejak seminggu lalu selepas Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur menggugurkan kes samannya terhadap seorang anggota polis yang didakwa merogolnya.

Ini selepas warga Mongolia itu dilaporkan gagal membayar deposit RM70,000 sebagai jaminan kos yang diminta pihak defendan yang juga pegawai polis terbabit.

Pihak defendan memohon jaminan dengan kos atas alasan plaintif seorang warga negara asing.

Bagaimanapun, peguam hak asasi Honey Tan Lay Ean berkata Mahkamah Tinggi sebenarnya mempunyai budi bicara untuk mengetepikan bayaran jaminan itu.

Honey berkata jumlah pembayaran yang tinggi antara keadaan yang dapat dipertimbangkan oleh hakim.

Terdahulu pada 27 Januari, Ahli Parlimen Petaling Jaya, Maria Chin Abdullah dan Adun Kampung Tunku, Lim Yi Wei menggesa Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur menimbang semula keputusan menggugurkan kes saman warga Mongolia terhadap seorang anggota polis yang didakwa merogolnya.

Maria dan Lim meluahkan kegusaran atas implikasi keputusan mahkamah terhadap saman tersebut.

"Ia petanda kepada mangsa rogol lain yang mereka kena ada sekurang-kurangnya RM70,000 dalam akaun bank untuk boleh memfailkan saman ke atas (orang yang didakwa) perogol mereka [...]

“Keputusan mahkamah telah menjadikan proses membuat laporan lebih sukar buat mangsa.

“Kami berharap mahkamah lebih berbelas kasihan dan tidak mengenakan jurang begitu besar terhadap mangsa yang ingin mendapat keadilan, terutama mereka yang kurang berkemampuan,” kata mereka lagi.

April tahun lalu,  pegawai polis itu dihadapkan ke mahkamah atas pertuduhan memperdagang dan merogol dua warga Mongolia, salah seorangnya mangsa yang mahu memulakan saman sivil tersebut.

Lelaki berusia 30 tahun itu dikatakan telah menahan kereta mangsa ketika bertugas menjaga sekatan jalan di Plaza Tol NPE di Petaling Jaya, Selangor.

Dia kemudian dikatakan membawa mereka ke hotel, bukannya balai polis seperti yang sepatutnya.

Dia didakwa menyalahgunakan kedudukan sebagai anggota polis dan menggunakan kekerasan jenayah untuk melakukan jenayah.

Terdahulu, wanita itu berkata dia berhasrat meneruskan kes meskipun reputasinya telah tercemar di negara asalnya dan berdepan kesukaran untuk mendapat sokongan keluarga dan rakan.

Philip ketika dihubungi Malaysiakini hari ini mengucapkan terima kasih kepada orang ramai yang bersimpati dengan nasib yang menimpa anak guamnya itu dan memberikan sumbangan dalam kempen kutipan dana tersebut.

"Kami sangat berterima kasih atas sambutan luar biasa daripada orang ramai," katanya.

Tambah Philip, dengan kejayaan yang diperolehinya itu, anak guamnya kini mempunyai dua pilihan dalam meneruskannya samannya semula.

Kata Philip, ini kerana mereka masih boleh memfailkan rayuan di Mahkamah Rayuan berhubung Mahkamah Tinggi baru baru ini.

"Kami akan mempertimbangkan pilihan yang ada dan akan memberi nasihat kepada anak guam kami mengenai tindakan terbaik untuk terus maju," katanya.

Dia berkata permohonan di Mahkamah Rayuan itu bagi mengembalikan semula tindakan saman sivi di mahkamah tinggi.

Kata peguam itu lagi, Pendaftar Mahkamah Rayuan itu menetapkan 2 Mac ini untuk tarikh pengurusan kes rayuan tersebut.

[Baca laporan asal]


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS