Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
'Sektor pelancongan lebih sukar pulih jika terus dipinggirkan'

Pengusaha bas persiaran berkata kelewatan menerima sebarang bantuan akan menyebabkan sektor pelancongan sukar untuk dipulihkan. 

Bercakap kepada Malaysiakini, Mohammed Ishak Jahbar Ali, 34, berkata negara memerlukan tempoh masa yang sangat panjang bagi memulihkan semula industri pelancongan sekiranya pengusaha yang terlibat dalam industri ini terus dipinggirkan dalam tempoh perintah kawalan pergerakan (PKP 2.0) ini. 

Ishak mula menceburi industri pelancongan pada tahun 2007, merupakan pengusaha perkhidmatan logistik pelancong dalam dan luar negara serta pelancong asing (inbound dan outbound).

Jelasnya, dia kini telah mula beralih arah ke industri lain bagi menampung perbelanjaan.

“Saya sama sekali tidak mengatakan bahawa industri ini merugikan. Industri pelancongan akan memberikan hasil yang lumayan dengan usaha serta kerja keras.

"Saya mempunyai 15 buah bas persiaran, beberapa buah kereta dan van. Kesan daripada pandemik Covid-19 yang melanda negara pada awal tahun lepas menyebabkan sektor pelancongan sangat teruk terjejas. Pengusaha industri pelancongan adalah di antara yang sangat terkesan.

“Bukan sahaja pengusaha bas persiaran, malah syarikat penerbangan, hotel, agensi pelancongan, pemandu pelancong, pembekal dan penjual cenderamata, restoran khususnya yang beroperasi di tempat tarikan pelancong dan pengusaha tempat tarikan pelancong turut terjejas teruk.

"Perkara ini berlaku bukan kerana pandemik Covid-19 sahaja, malah pada masa yang sama tiada sebarang bantuan daripada kerajaan untuk yang terlibat secara langsung dan tidak langsung dalam industri ini," katanya.

Menurut timbalan setiausaha Pertubuhan Gemilang Agensi Pelancongan dan Pengusaha Bas (GAPP Bas Malaysia) itu, kebanyakan pengusaha industri pelancongan kini mula beralih arah ke sektor lain .

Katanya, punca utama pengusaha industri pelancongan mula beralih arah ke bidang lain adalah kerana tekanan akibat bebanan hutang dan tiada sebarang bantuan daripada pihak kerajaan kepada syarikat-syarikat pelancongan.

"Saya sendiri telah mula menceburi sektor restoran kerana terpaksa membayar balik ansuran pinjaman kenderaan dan menanggung bebanan hutang yang lain terlalu tinggi.

"Ini kerana saya sendiri tidak dapat meneruskan kelangsungan hidup berikutan tiada sebarang bantuan daripada kerajaan bagi industri ini, kami ibarat dipinggirkan.

"Saya terpaksa melepaskan pejabat yang saya sewa hampir 15 tahun untuk pengurusan pentadbiran syarikat, kerana tidak mampu untuk membayar sewaan bulanan dan bayaran utiliti tanpa operasi. 

"Saya juga telah menjual beberapa buah kenderaan di bawah paras harga pasaran untuk menanggung hutang kerana tiada sebarang aliran tunai.

"Hampir setiap hari saya akan menerima beberapa panggilan telefon dan lebih 20 mesej daripada pihak bank, syarikat kredit, syarikat telekomunikasi serta lain-lain. Situasi yang sama dihadapi hampir 99 peratus pengusaha industri ini," katanya.

Selain itu, tambahnya, mereka juga terpaksa menerima notis mahkamah yang dikeluarkan oleh syarikat kredit kerana tidak membuat pembayaran ansuran pinjaman bas. 

"Ini adalah di antara tekanan dan bebanan yang sedang kami hadapi. Oleh yang demikian, kami terpaksa mula beralih ke perniagaan lain," katanya.

Menurutnya lagi, antara keluhan lain adalah sektor pelancongan tidak mendapat layanan yang sama dan adil daripada kerajaan.

"Kami tidak minta kerajaan memberi bantuan dana khas RM100,000 atau RM1 juta. Kami hanya memohon pihak kerajaan memberikan moratorium daripada syarikat kredit dan juga pinjaman bank untuk penyelenggaraan kenderaan-kenderaan kami yang tidak beroperasi.

"Kami telah membuat perjumpaan dengan tiga kementerian. Tetapi sehingga kini masih mendapat sebarang progresif daripada mana-mana kementerian.

"Apa yang pasti kelewatan menerima sebarang bantuan akan menyebabkan sektor pelancongan sukar untuk dipulihkan selepas tamatnya pandemik. Ini kerana pengusaha telah pun mula beralih arah ke perniagaan lain.

"Saya berharap agar kerajaan dapat membantu pengusaha pelancongan yang telah lama menceburi bidang pelancongan ini dalam masa terdekat atau terpaksa bergantung dengan pengusaha yang baru serta akan mengambil masa yang lama untuk mahir dalam industri ini kerana Industri pelancongan merupakan sektor kedua terbesar dari segi pendapatan FDI (pelaburan langsung asing)," katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS