Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
'Tingkatkan kesedaran, bukan kenakan hukuman berat'
Diterbitkan:  Feb 1, 2021 8:35 PM
Dikemaskini: 12:35 PM

Anggota Parlimen Petaling Jaya Maria Chin Abdullah berkata, kerajaan sewajarnya memberi kesedaran terhadap prosedur operasi standard (SOP) lebih tepat berhubung perintah kawalan pergerakan (PKP) dan bukannya menjatuhkan hukuman lebih tegas ke atas individu yang melanggar peraturan tersebut.

Hal ini selepas Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Ismail Sabri Yaakob berkata bahawa kerajaan boleh meminda Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 untuk meningkatkan denda kompaun terhadap individu yang melanggar SOP.

“Isu bukan untuk meletakkan penalti lebih tinggi. Kesedaran dan ketepatan garis panduan masih kurang,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Maria menambah, menteri kabinet juga perlu berhenti melanggar SOP kerana ia membawa kepada “pertikaian besar” kerana tidak dihukum atas tindakan itu.

Kedua, kata Maria, kerajaan juga harus kerap berkempen di media sosial untuk meningkatkan kesedaran terhadap SOP terbabit.

“Sejak Jabatan Hal Ehwal Khas (Jasa) ada (peruntukan) RM45 juta, memang sesuai untuk badan itu menjalankan tanggungjawab.

“Seperti apa menteri komunikasi dan multimedia berkata, Jasa diwujudkan semula untuk komuniti, jadi lebih wajar badan itu digunakan untuk berkempen,” katanya lagi.

Jasa, yang dijenamakan semula sebagai Jabatan Komunikasi Komuniti (J-kom) telah menerima peruntukan sebanyak RM45 juta menerusi Belanjawan 2021 di bawah kerajaan Perikatan Nasional (PN).

Maria turut mencadangkan agar kerajaan memberikan data spesifik kes harian Covid-19, termasuk data bagi daerah dan bandar.

Tambahnya, perkongsian maklumat tersebut tidak akan menjejaskan tugas kementerian kesihatan Malaysia (KKM) dan Majlis Keselamatan Negara (MKN), tetapi ia bertujuan untuk pengesanan kontak rapat dan kuarantin.

Akhirnya, Maria berkata, kerajaan juga perlu mempunyai SOP jelas kerana dilihat sekarang peraturan itu berasaskan budi bicara pihak polis.

“Sebagai contoh, terdapat kes dimana denda dikeluarkan pihak polis kepada individu yabg berada di luar rumah selepas 10 malam, namun tiada had waktu untuk keluar rumah diumumkan dalam SOP.

“Garis panduan jelas seperti had waktu, kedai apa atau industri boleh dibuka atau tutup? Bila wajib pakai pelitup muka atau tidak perlu terutama di restoran dan dalam pejabat.

“Ini adalah informasi yang diperlukan..bagaimanapun ia tidak jelas,” kata Maria 


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS