Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
4,214 kes: Rekod baru 137 pesakit perlu bantuan pernafasan
Diterbitkan:  Feb 1, 2021 6:22 PM
Dikemaskini: 12:39 PM

Sebanyak 4,214 kes baru dilaporkan hari ini, maklum Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah.

Jelasnya, jumlah keseluruhan kes positif Covid-19 dalam negara kini mencecah 219,173 manakala jumlah kes aktif dengan kebolehjangkitan ialah 48,074.

"Daripada jumlah kes baru itu, terdapat sembilan kes import yang mendapat jangkitan dari luar negara manakala penularan Covid-19 dalam negara pula adalah 4,205 kes," katanya.

Jangkitan mencatatkan sedikit penurunan selepas kes mencecah lebih 5,000 angka sepanjang tiga hari lalu.

Sementara itu, Dr Noor Hisham memaklumkan sepuluh kematian direkodkan hari ini, dengan jumlah kes yang sedang dirawat di ICU seramai 316 orang.

Kes kematian itu, katanya melibatkan tujuh lelaki dan tiga wanita warganegara berumur lingkungan 26 hingga 87 tahun dengan lapan daripada mereka mempunyai latar belakang berpenyakit.

Hari ini juga rekod baru apabila 137 pesakit memerlukan bantuan pernafasan.

Alat bantuan pernafasan diperlukan bagi pesakit yang mengalami masalah kegagalan paru-paru.

Selangor terus merekodkan jumlah kes baru harian tertinggi iaitu 1,362 diikuti Johor (1,068 kes) dan Kuala Lumpur (702).

Ia diikuti Sabah (276 kes), Perak (193), Pulau Pinang (119), Sarawak (105), Negeri Sembilan (91), Melaka (85), Kelantan (57), Pahang (54), Kedah (47), Terengganu (38), Putrajaya (10) dan Labuan dengan tujuh kes.

Menurut Dr Noor Hiham, 14 kluster baru pula dilaporkan menjadikan jumlah kluster aktif kini ialah 401 dengan 73 daripadanya mencatatkan pertambahan kes hari ini.

Daripada 14 kluster baru itu, jelasnya sembilan membabitkan tempat kerja iaitu Tapak Bina Jalan Lagoon dan Industri Puchong di Selangor; Persiaran Raya dan Lapangan Siber (Perak); Kampung Parit Masjid (Johor); Tapak Bina Jalan Puchong (Kuala Lumpur); Ladang Sungai Pin (Sabah); Bintang Daily (Sarawak) dan Nilam Tiga di Negeri Sembilan.

Tiga kluster lagi kumpulan berisiko tinggi iaitu Jalan Empat serta Jalan Tan di Kuala Lumpur dan Sungai Purun di Selangor manakala dua lagi daripada kluster komuniti iaitu Kampung Samin dan Padas Damit di Sabah.

“Kluster-Kluster dengan pertambahan kes baru tertinggi pada hari ini adalah Kluster Tapak Bina Jalan Puchong (322), Kluster Tapak Bina Jalan Chulan (85) dan Kluster Tembok Taiping (81).

“Jumlah kluster yang telah tamat pula sebanyak 430 kluster termasuk lima yang tamat hari ini iaitu Kluster Tembok, Kluster GK Tawau, Kluster Sentosa Residensi, Kluster Menara Wang dan Kluster Maringkan,” katanya.


Dapatkan maklumat terkini dan perincian berkenaan penularan Covid-19 di Malaysia di laman penjejak ini.

 


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS