Kaedah rawatan moden, termasuk dalam usaha merawat pesakit Covid-19, memang terangkum dalam konsep rawatan secara Islam, menurut Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Ahmad Marzuk Shaary.
Justeru dia menggesa masyarakat agar tidak keliru dengan tanggapan rawatan Islam meminggirkan rawatan secara saintifik secara moden.
"Pertamanya, perubatan moden ini sebahagian daripada (anjuran) Islam dalam merawat. Jangan kita terkeliru bahawa rawatan Islam meminggirkan rawatan saintifik dan moden.
"Apa yang kita buat di hospital itu sudah ikut cara agama. Barang kali apa yang dimaksudkan adalah awatan tambahan seperti doa dan ruqyah. Itu dibolehkan tetapi jangan menafikan rawatan secara saintifik," katanya kepada media selepas menyampaikan bantuan Tabung Musaadah Covid-19 Jakim-Yayasan Waqaf Malaysia (YWM) di Hospital Tumpat, Kelantan, hari ini.
Marzuk yang juga anggota parlimen Pengakalan Chepa mengulas isu rawatan secara Islam yang menggunakan kaedah seperti air ruqyah atau dibacakan dengan doa.
Terdahulu, media melaporkan Timbalan Exco Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Kesihatan, Hilmi Abdullah, mencadangkan perubatan secara Islam juga digunakan dalam usaha merawat Covid-19.
Bagaimanapun Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah menegaskan, sebarang bentuk kaedah, termasuk perubatan Islam atau tradisional, perlu dibuktikan terlebih dulu keberkesanannya.
Sementara itu Marzuk berkata, soal rawatan sampingan itu dibolehkan namun bukan dengan mengabaikan kaedah saintifik.
"Islam sendiri adalah agama yang berdasarkan bukti. Apa yang kita buat di hospital ini adalah berdasarkan bukti, ada vaksin, kita makan ubat, itu berlandaskan bukti.
"Tetapi kita juga tidak mengenepikan soal rawatan sampingan yang boleh dilaksanakan tetapi mesti gabungkan antara kedua-dua itu," jelasnya.