Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Kandungan memoir: Haniff Khatri persoal profesionalisme Thomas
Diterbitkan:  Feb 1, 2021 10:47 AM
Dikemaskini: 3:43 AM

Peguam Mohamed Haniff Khatri Abdulla menyelar bekas peguam negara Tommy Thomas susulan laporan media berhubung kandungan memoirnya yang baru diterbitkan.

Haniff berkata dia belum membaca buku itu, bertajuk My Story: Justice in the Wilderness, tetapi laporan Malaysiakini yang memetik beberapa petikan telah membangkitkan empat persoalan, termasuk tahap profesionalisme Thomas sepanjang dua tahun menjadi peguam negara.

Ketika memegang jawatan itu, katanya, Thomas perlu kekal berpegang kepada prinsip asas "kepentingan peguam-pelanggan", antaranya untuk tidak mendedahkan sebarang nasihat yang diberi sepanjang perkhidmatan.

"Kecuali dalam keadaan yang dibenarkan undang-undang, (nasihat) tidak boleh didedahkan kepada umum, memandangkan struktur integriti dan kepercayaan perundangan akan terjejas jika ia dilakukan tanpa pertimbangan, apatah lagi oleh peguam negara atau bekas peguam negara," katanya dalam kenyataan semalam.

Berdasarkan laporan, Haniff yang sebelum ini pernah menjadi peguam Dr Mahathir Mohamad, menyangkal pandangan Thomas yang bekas perdana menteri itu meletakkan jawatan secara sukarela pada Februari tahun lalu - langkah yang menurutnya mencetuskan kemelut politik yang akhirnya membawa kepada kejatuhan kerajaan PH.

Haniff sebaliknya berkata Mahathir tertakluk di bawah Perlembagaan Persekutuan untuk mengadap Yang di-Pertuan Agong dan meletakkan jawatan susulan Langkah Sheraton yang menyaksikan kerajaan PH hilang majoriti.

Dia turut mendakwa Thomas mencetuskan kontroversi atas dakwaan Mahathir masuk campur dan mahu menjadi perdana menteri sementara, di saat Agong mencadangkan Dr Wan Azizah Wan Ismail untuk jawatan itu.

"Kenyataan Tommy Thomas perlu disahkan benar atau tidak, kerana ia telah mengheret nama baik Agong dalam konflik disebabkan hal yang tidak diketahui sebelum ini," katanya lagi.

Dia juga mendakwa pandangan Thomas terhadap Mahathir dalam memoirnya bercanggah dengan kenyataannya sebelum ini tahun lalu - bahawa tiada had masa untuk seseorang menjadi perdana menteri sementara.

Haniff juga berkata dia akan mendapatkan memoir tersebut sebelum membuat ulasan selanjutnya.

Malaysiakini telah menghubungi Thomas untuk mendapatkan maklum balas.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS