Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menegaskan sebarang bentuk perubatan Islam dan tradisional bagi rawatan Covid-19 perlu dibuktikan keberkesanannya, kata ketua pengarahnya Dr Noor Hisham Abdullah.
Justeru katanya, perlu dilaksanakan kajian untuk melihat sama ada kaedah rawatan itu berkesan atau sebaliknya.
"Kalau kita nak gunakan perubatan Islam ataupun perubatan tradisional kita mesti berdasarkan dalil-dalil yang kukuh dan bukti-bukti yang kita boleh guna pakai dan kajian-kajian.
"Contohnya kita menggunakan vaksin, vaksin pun perlukan kajian fasa klinikal yang ketiga baru kita boleh lihat kesan sampingan dan keberkesanan vaksin tersebut. Sama juga dengan ubat-ubatan. Jadi kita kena laksanakan kajian dulu.
"Perlu ada kajian, Kalau tidak macam mana kita nak tahu keberkesanan ubat tersebut ataupun kesan samping ubat tersebut. Jadi kita kena lihat kepada kajian sama ada terbukti ataupun tidak," katanya kepada media selepas melawat pusat kuarantin dan rawatan Covid-19 risiko rendah (PKRC) di Pusat Tarbiyah Islamiah Kelantan (Putik), Kota Bharu, hari ini.
Dia berkata demikian ketika diminta mengulas cadangan Timbalan Exco Kerajaan Tempatan dan Kesihatan Kelantan, Hilmi Abdullah yang dilaporkan menggesa perubatan secara Islam turut digunakan untuk rawatan Covid-19.
Dalam perkembangan berasingan, Noor Hisham menjelaskan fasiliti bagi rawatan Covid-19 di Kelantan setakat ini mencukupi namun memerlukan tambahan peralatan dan petugas.
"Setakat ni kita masih belum lagi untuk meningkatkan PKRC iaitu sekarang ni kita tengok dewan (di Putik) pun tak penuh lagi dan masih ada keupayaan, tetapi jika perlu kita boleh tingkatkan lagi di di daerah-daerah.
"Kita ada ruang contohnya di Hospital Sultan Ismail Petra (Kuala Krai) masih ada lima unit rawatan rapi (ICU) kosong. Jadi kita perlukan peralatan dan juga kepakaran serta jururawat-jururawat terlatih untuk ditempatkan di situ. Jadi kita sekarang meningkatkan sumber manusia untuk ditempatkan di di ICU dan juga hospital," katanya.