Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
MP saran kebebasan media untuk perangi rasuah
Diterbitkan:  Jan 31, 2021 4:53 PM
Dikemaskini: 8:55 AM

Kebebasan media merupakan sebahagian daripada dasar yang perlu diperjuangkan bagi memerangi rasuah, kata ahli parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman.

Ini susulan kedudukan terkini Malaysia dalam indeks persepsi rasuah (CPI) oleh Transparency-International (TI-M) yang menyaksikan penurunan dua mata dan menyebabkan kedudukan negara merosot enam anak tangga di kalangan 180 negara.

"Tindakan kotor menyekat dan menakutkan media harus dihentikan.

"Kebebasan media akan bertindak sebagai pemangkin untuk memastikan ahli politik lebih berhati-hati dengan tindakan mereka.

"Media harus dibenarkan berperanan secara aktif sebagai kuasa keempat dalam memastikan semak dan imbang," kata bekas menteri belia dan sukan itu.

Syed Saddiq merujuk kepada isu kem maut Wang Kelian dan skandal kartel daging sebagai contoh bagaimana kebebasan media boleh menguntungkan negara.

"Ini semua berita besar dan bukti bahawa media harus diberi kebebasan untuk melaporkan penemuan mereka sepenuhnya tanpa rasa takut," tambahnya.

Presiden (TI-M) Muhammad Mohan baru-baru ini berkata prestasi Malaysia pada tahun lalu merosot setelah dua tahun berturut-turut mencatatkan peningkatan sejak 2018 ekoran agenda reformasi institusi di bawah pentadbiran Pakatan Harapan (PH)

Syed Saddiq berkata usaha itu termasuk membentangkan akta pembiayaan politik, yang pada masa ini masih kabur dan dikaitkan dengan banyak skandal rasuah berprofil tinggi.

Tambahnya, reformasi institusi yang lain merangkumi kebebasan yang lebih luas untuk Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), serta memperkuat peranan semak dan imbang di parlimen.

Dalam isu desentralisasi kuasa, Syed Saddiq berpendapat reformasi harus bermula dari peringkat atas dengan mengehadkan tempoh jawatan perdana menteri.

"Memperkenalkan had tempoh ini akan memastikan kurang atau tiada salah guna kuasa dilakukan oleh perdana menteri terutama apabila mengetahui bahawa kuasa mereka tidak mutlak dan mereka nanti boleh dipertanggungjawabkan atas tindakan yang tak sepatutnya,"katanya.

[Baca berita penuh]


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS