Bekas menteri kesihatan Dzulkefly Ahmad menggesa penggantinya Dr Adham Baba dan dua timbalannya untuk mengambil tanggungjawab dalam pembuatan keputusan KKM atau mengundurkan diri.
Dia berkata demikian selepas Pengarah Kesihatan, Dr Noor Hisham Abdullah berkata dia hanyalah utusan yang mewakili pandangan kolektif pakar kementerian itu yang bekerja di belakang tabir.
Dzulkefly berkata ramai bingung dengan penekanan Noor Hisham bahawa dirinya hanya 'utusan' dan bukan memberi penjelasan keilmuan di sebalik keputusan kementerian.
"Segera anda bertanya, apakah dasar untuk keputusan tanpa jawapan muktamad (judgement call) ini?
"Lebih penting bagi ramai orang, ini mendedahkan dan mewajarkan dakwaan perintah kawalan pergerakan (PKP) cukup untuk mengendalikan gelombang ketiga wabak Covid-19 tanpa mengisytiharkan darurat, dengan syarat pelaksanaannya ketat dan berkesan," katanya kepada Malaysiakini.
Dakwanya, Malaysia telah kehilangan kepemimpinan politik dan negara berjalan seolah-olah "hampir secara automatik" sejak pentadbiran Pakatan Harapan digulingkan tahun lalu.
Dia menegaskan Dr Adham - bersama dengan timbalannya Dr Noor Azmi Ghazali dan Aaron Ago Dagang - mesti bekerja sebagai satu pasukan dengan birokrat dan teknokrat Kementerian Kesihatan.
“Bagaimanapun, pada akhirnya, pihak eksekutif - menteri - selalu perlu mengambil tanggung jawab dan bertanggungjawab. The buck stops at him (dia bertanggungjawab atas segala-galanya).
'Di mana tiga orang ini?'
"Itulah sebabnya mengapa masyarakat sekarang mengatakan menteri dan dua timbalannya 'makan gaji buta'...
"Kenapa? Kerana masyarakat tidak melihat kepimpinan mereka atau dilihat sebagai mengambil tanggungjawab.
“Setelah saya pergi, ketua pengarah yang dilihat seperti mengambil alih tanggungjawab, terutama dalam mengendalikan sidang media setiap hari.
"Orang ramai berkata, 'Sekarang ada tiga orang. Seorang menteri dan dua timbalan menteri, di mana mereka?
"Keadaan telah bertambah buruk dan memerlukan mereka dilihat dan bertanggungjawab, bukan hanya terhadap pengarah kesihatan sahaja.
"Anda mesti terlihat, jangan takut dikritik. Dan jangan hanya berusaha untuk dipuji,” katanya.
Menurut Dzulkefly, jika mereka gagal memenuhi tugas menangani krisis kesihatan yang sedang berlangsung maka mereka patut "melakukan hal yang baik" dengan mengundurkan diri atau menyerahkan jawatan mereka kepada perdana menteri dan membiarkan perdana menteri memutuskan langkah-langkah selanjutnya.
Dzulkefly juga menggesa Kementerian Kesihatan untuk melibatkan para pakar dari luar KKM di dalam sektor awam dan swasta.
Katanya lagi, ramai yang sudah memberikan cadangan untuk meningkatkan maklum balas kerajaan menangani wabak ini yang dapat diambil oleh kementerian dalam melaksanakan penyelesaian tersebut.
Dr Dzulkefly berkata adalah wajar apabila kerajaan mengambil banyak saranan yang dikemukakan oleh kumpulan pakar dalam surat terbuka yang ditujukan kepada Perdana Menteri Muhyiddin Yassin.
Ini termasuk menempatkan pesakit Covid-19 dengan sedikit gejala atau tanpa gejala untuk kuarantin kendiri di rumah dan tidak dimasukkan ke hospital, serta menggunakan ujian antigen yang cepat dengan lebih meluas dalam mengesan penularan wabak.
"Kita sebenarnya tidak perlu menggunakan peraturan darurat untuk 'menasionalisasi' kemudahan (hospital swasta) bagi mendapatkan aksess terhadapnya supaya Kementerian Kesihatan dapat mengurangkan beban di hospital (awam) Covid-19 kita.
"Banyak yang dapat dilakukan lebih awal lagi hanya jika menteri atau pihak Kementerian Kesihatan sudi mendengarkan pandangan orang lain juga, bukan hanya di Kementerian Kesihatan saja," katanya.
Dapatkan maklumat terkini dan perincian berkenaan penularan Covid-19 di Malaysia di laman penjejak ini.