Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

“Eh nak makan apa hari ini?”

“Nasi kandar di mamak depan itulah.”

“OK ke?”

“Mesti OK punya. Aku nampak ada poster ‘Tiga Qul’ di belakang kaunter bayarannya.”

Walaupun hanya khayalan, senario perbualan ini bukanlah sesuatu yang asing dituturkan oleh rakyat di negara ini.

Ayat al-Quran sememangnya pemandangan biasa di mana-mana, di sebuah negara yang Islam termaktub dalam Perlembagaan.

Namun apakah penggunaannya digunakan selayak statusnya sebagai wahyu, atau ada niat terselindung atas nama melaris perniagaan?

Melariskan produk jualan dengan menggunakan ayat suci al-Quran merupakan perbuatan yang jelas menyalahi agama.

Ini berdasarkan Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia kali ke-108 pada tahun 2015, yang menyatakan secara jelas mengenai pengharaman penjualan produk yang menggunakan ayat ruqyah (ayat al-Quran) untuk tujuan komersil.

Bagaimanapun, perkara ini masih dilakukan segelintir peniaga yang menggunakan ayat-ayat al-Quran untuk menarik pelanggan membeli produk jualan mereka.

Selain digunakan sebagai instrumen promosi seperti senario perbualan di atas, pelbagai kaedah lain turut digunakan peniaga bagi menggambarkan kelebihan produk mereka.

Golongan peniaga ini akan memaparkan ayat al-Quran pada pembungkusan produk, atau mengedarkan risalah produk yang mengandungi ayat al-Quran.

Mereka juga tidak segan silu mempromosikan produk mereka secara langsung dengan menyatakan bahawa produk mereka telah dibaca dan diperdengarkan dengan ayat-ayat suci al-Quran atau ruqyah.

Antara jenis produk jualan yang sering dikaitkan dengan kesalahan ini adalah produk makanan, pakaian, perhiasan, kecantikan, dan produk berasaskan kesihatan.

Produk sebegini dikatakan mempunyai khasiat dan manfaat yang luar biasa, kerana telah diterapkan dengan doa-doa syifa, ruqyah, malah bacaan dari 30 juzuk al-Quran!

Semakan ketat KDN

Pihak Kementerian Dalam Negeri (KDN), menerusi garis panduannya, turut melarang percetakan kaligrafi al-Quran dalam pelbagai medium, dan merupakan badan berwajib yang meluluskan penjualan naskhah cetakan al-Quran.

Produk kaligrafi al-Quran yang berlambak di pasaran, merangkumi rantai kunci, kasut, selipar, pakaian, kad ucapan, jubin lantai, mangkuk pewter, pedang, rantai leher, dan sebagainya dikatakan berasal dari China, Pakistan, dan Indonesia.

KDN juga melakukan semakan yang ketat terhadap setiap pencetakan naskhah al-Quran yang akan dijual di pasaran negara ini, bagi memastikan tiada kesalahan dari aspek ejaan huruf, baris, titik, hatta susunan hiasan di setiap lembaran muka suratnya.

Pada tahun 2018 sahaja, lebih 10,000 premis atau pemilik perniagaan telah didapati bersalah bawah Akta Percetakan Teks al-Quran (APTQ) melibatkan nilai rampasan melebihi RM200 ribu.

Dari sudut yang lain, terdapat pula sesetengah ayat al-Quran dan zikir tertentu yang dipercayai mampu memberi kelebihan dalam perniagaan, dan/atau mendapat ‘pelindungan’ daripada anasir jahat.

Manfaat ini dikatakan akan diperoleh apabila objek seperti tangkal, azimat, wafak, atau gambar rajah tertentu, diletakkan di premis sebagai pelaris, atau dipakai di mana-mana anggota tubuh.

Menariknya, objek sebegini dijual oleh pihak tertentu sehingga mencecah ribuan ringgit!

Kebiasaannya, mereka akan membacakan potongan ayat-ayat al-Quran yang terpilih, dan kemudiannya menjampi objek yang dikehendaki, mengikut prosedur yang ditetapkan. Mereka mendakwa objek tersebut boleh mendatangkan manfaat yang luar biasa kepada si pemakainya, termasuklah tahap kesihatan tubuh yang maksimum, kekuatan luar biasa (malah ada yang mengaku kebal daripada tikaman!), pengumpulan aura positif, penolakan aura negatif, keuntungan perniagaan yang berlipat ganda, dan lain-lain kelebihan peribadi yang bersifat duniawi.

Lebih menyedihkan, tinjauan penulis mendapati penjualan ‘objek ajaib’ ini amat berleluasa di media sosial, dan kelihatan sukar untuk dikawal dan dipantau, walaupun jelas khurafat.

Selain meyakini ‘kuasa’ ayat al-Quran yang diserapkan ke dalam objek tertentu, terdapat juga penyalahgunaan al-Quran oleh segelintir peniaga bagi meningkatkan jualan.

Penggantungan bingkai gambar dan objek perhiasan yang mengandungi potongan ayat al-Quran seperti ayat Seribu Dinar, ayat Qursi, Tiga Qul, potongan awal surah al-Muqatta‘āt, dan ayat-ayat lain, dapat dilihat di banyak premis perniagaan.

Malah ada juga peniaga yang memainkan bacaan ayat suci al-Quran di sistem siar raya, seperti surah al-Waqi‘ah, surah Yāsin, dan al-Raḥmān, dengan kepercayaan perbuatan ini akan ‘mengundang’ rezeki dan keuntungan.

Kesimpulannya, penggunaan mana-mana unsur teks al-Quran, sama ada sebagai pelaris (khurafat atau tidak), mahu pun dijadikan produk jualan itu sendiri, adalah menyalahi hukum agama dan undang-undang.

Walau apa pun niatnya, penggunaan ayat-ayat suci al-Quran sebegini hanyalah alat permainan psikologi untuk meningkatkan jualan.

Pengambilan kesempatan ke atas pengguna melalui kaedah-kaedah yang secara jelas mempergunakan ayat al-Quran ini jelas bertentangan dengan syariat Islam, dan seharusnya diperangi oleh semua pihak.

Pada masa yang sama, kesedaran di kalangan pengguna juga harus ditingkatkan, bagi mengelak diri menjadi sebahagian daripada industri yang memperkudakan agama.

Harus diingat, di dalam mana-mana perniagaan sekali pun: tiada bekalan, jika tiada permintaan.

Maka, tepuklah dada dan tanyalah selera.


DR MONIKA @ MUNIRAH ABD RAZZAK merupakan pensyarah kanan di Jabatan Al-Quran dan Hadis, Akademi Pengajian Islam, Universiti Malaya dan boleh dihubungi di [email protected].

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS