Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita

Kerajaan sedang meminda Ordinan Darurat yang berkuat kuasa pada masa ini untuk meningkatkan jumlah denda terhadap mereka yang melanggar prosedur operasi standard (SOP) untuk mengekang penularan Covid-19, kata Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Ismail Sabri Yaakob.

Ismail berkata, ia setelah didapati masih ramai yang gagal mematuhi SOP yang telah ditetapkan.

"Saya nak maklumkan, oleh kerana masih banyak yang gagal patuh SOP, kerajaan sedang menggubal Ordinan Darurat untuk tingkatkan lagi kompaun terhadap individu dan syarikat.

"Begitu juga apabila (pihak yang melanggar SOP) dibawa ke mahkamah, hukuman akan ditingkatkan lagi," katanya ketika sidang media hari ini.

Bagaimanapun, Ismail tidak menyebut tentang jumlah denda dan hukuman yang sedang dipertimbang. Dia juga tidak diminta untuk mengulas lebih lanjut ketika sidang media.

Untuk rekod, hanya media berkaitan kerajaan yang dibenarkan membuat liputan di sidang media Ismail yang diadakan beberapa kali seminggu berhubung perkembangan dan keputusan terkini berkaitan perintah kawalan pergerakan (PKP).

"Jadi saya harap rakyat tak perlu (tunggu) sehingga tindakan oleh pihak berkuasa. Disiplin diri paling penting...SOP bukan untuk susahkan rakyat, tetapi agar kesihatan dijaga dengan baik," katanya.

Di bawah undang-undang sedia ada, Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 hanya memperuntukkan denda tidak lebih RM1,000 kepada mereka yang melanggar SOP ketika wabak.

Ordinan Darurat (Kuasa-Kuasa Perlu) 2021 yang diwartakan pada 11 Januari lalu turut tidak menyatakan denda terhadap pelanggaran SOP.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS