Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
story images
story images
mk-logo
Berita

Semua sektor perniagaan yang dibenarkan beroperasi dalam tempoh perintah kawalan pergerakan (PKP) kini dibenarkan melanjutkan waktu operasi sehingga pukul 10 malam bermula esok, kata Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Ismail Sabri Yaakob.

Ismail berkata, keputusan itu bagi mengelakkan kekeliruan dalam penguatkuasaan susulan lanjutan operasi restoran dan kedai makan sebelum ini.

"Kita tahu banyak kekeliruan dan menyukarkan penguatkuasaan kerana waktu (operasi) berbeza-beza, selain banyak permohonan daripada sektor perniagaan untuk melanjutkan masa (operasi).

"Selepas Kementerian Kesihatan buat penilaian risiko, kerajaan sekali lagi setuju lanjutkan waktu operasi untuk sektor dibenarkan (ketika PKP) sampai 10 malam," katanya dalam sidang media hari ini.

Katanya lagi, kebenaran itu termasuk kepada kedai runcit, kedai serbaneka, farmasi, kedai keperluan harian, makanan harian, dobi dan cermin mata.

Lanjutan ini seminggu selepas kerajaan memberi kebenaran kepada restoran dan kedai makan untuk melanjutkan waktu operasi, dari jam lapan malam kepada jam 10 malam.

Pembalakan turut dibenarkan

Hari ini, Ismail turut memaklumkan kerajaan memutuskan untuk membenarkan sektor perkayuan dan rantaiannya, termasuk pembalakan, untuk kembali beroperasi.

Kebenaran itu juga bermula esok.

Dalam pada itu, Ismail meminta pihak berkuasa menggunakan budi bicara berhubung rakyat yang ingin membuat perjalanan rentas negeri.

Ia selepas timbul rungutan daripada kalangan yang tinggal berhampiran sempadan negeri, yang perlu membuat perjalanan dalam negeri yang lebih jauh untuk membeli barang keperluan, berbanding bandar terdekat di negeri bersebelahan.

Sepanjang PKP, perjalanan rentas negeri adalah dilarang kecuali untuk mereka yang mendapat kebenaran polis.

"Rentas negeri memang tak dibenarkan. Tapi saya juga harap polis guna budi bicara...munasabah untuk benarkan rentas negeri kerana bandar itu paling hampir dengan mereka (yang tinggal di sempadan)," kata Ismail.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS