Ketika kerajaan seluruh dunia berperang dengan wabak Covid-19, pertubuhan antirasuah antarabangsa, Transparency-International (TI), berkata indeks persepsi rasuah (CPI) mendedahkan berlaku “krisis rasuah” di sebalik krisis kesihatan yang didepani.
Hasil tinjauan tahunan itu diterbitkan hari ini, di kala langkah-langkah fiskal diambil kerajaan bagi menangani peruntukan berkaitan Covid-19, termasuk perbelanjaan yang mungkin tidak melalui prosedur semak dan imbang yang sepatutnya.
Presiden TI-Malaysia (TI-M) Muhammad Mohan berkata markah purata bagi 180 negara yang ditinjau tahun lepas hanya 43 mata daripada 100 mata.
Markah Malaysia pula merosot dua mata dan menyebabkan kedudukan negara merosot enam anak tangga berbanding pada 2019.
Muhammad berkata, untuk 2020 Malaysia mendapat 51 mata dan berada di kedudukan 57 berbanding tempat 51 (dengan markah 53 mata) pada 2019.
Katanya, prestasi Malaysia pada tahun lalu merosot setelah dua tahun berturut-turut mencatatkan peningkatan sejak 2018 ekoran agenda reformasi institusi di bawah pentadbiran Pakatan Harapan (PH).
“Markah yang kita lihat untuk Malaysia (tahun lepas) mungkin secara statistiknya tidak signifikan, tetapi trajektori (menurun) yang kita lihat itu membimbangkan,” katanya.
“... kerajaan mesti sedar bahawa kedudukan kita yang jatuh enam anak tangga bermakna - berbanding negara-negara lain - kita juga tidak menjadi lebih baik dalam usaha kita memerangi rasuah,” katanya.
Enggan umum pampasan
Dalam kalangan 10 negara Asean, Malaysia berada di tangga ketiga iaitu di belakang Singapura dan Brunei. Singapura menjadi negara dengan prestasi terbaik dari Asia Tenggara dengan 85 markah.
Ia juga berada tangga keempat secara keseluruhan. Negara republik itu 'kalah' kepada Denmark (88 mata), New Zealand (88 mata) dan Finland (85 mata).
Mengakui pentingnya hubungan dengan negara-negara majoriti Musim, Muhammad berkata, markah Malaysia menempatkannya di kedudukan lebih rendah berbanding negara seperti Emeriah Arab Bersatu (UAE), Qatar dan Arab Saudi.
Menyentuh faktor penyumbang kepada prestasi Malaysia, kata Muhammad, antara lain ia disebabkan reformasi institusi yang tergendala, seperti janji-janji yang tidak dipenuhi untuk membentangkan rang undang-undang (RUU) pembiayaan politik dan RUU Suruhanjaya Bebas Aduan dan Salah Laku Polis (IPCMC).
Di peringkat institusi kehakiman, Muhammad menyandarkan persepsi negatif itu ke atas beberapa keputusan membebaskan atau melepas tanpa membebaskan (DNAA) kes rasuah berprofil tinggi tahun lalu.
“Mereka (ahli politik) yang sudah pun diputuskan bersalah dan menunggu rayuan, mereka patut mengosongkan kedudukan dan tidak bergerak bebas seperti yang berlaku hari ini,” tambahnya.
Katanya juga, akses terhadap maklumat berhubung perkara berpekentingan awam turut mendorong persepsi negatif, dengan contoh terbaik ialah keengganan kerajaan mengumumkan jumlah pampasan kepada Singapura ekoran pembatalan projek kereta api berkelajuan tinggi (HSR).
Muhammad berkata TI-M mengambil maklum bahawa Menteri di Jabatan Perdana Menteri Mustapa Mohamed memetik klausa kerahsiaan yang menghalang Malaysia daripada mendedahkan jumlah itu, meskipun Singapura menyatakan jumlah kos yang dikenakan sebanyak S$270 juta (RM891 juta).
“Kita faham, tetapi pampasan ini berkaitan dengan duit pembayar cukai. Mereka berhak untuk tahu,” tegas Muhammad sambil menambah ketelusan lebih baik menerusi pengkhususan skop Akta Rahsia Rasmi 1972 boleh membawa kepada persepsi awam yang lebih baik.
Secara keseluruhan, katanya, Malaysia harus memecut pelan reformasi institusi yang sudah pun ada, selain meneruskan dengan Pelan Antirasuah Nasional (NACP) 2019-2023.
TI-Malaysia turut mencadangkan agar ketua setiausaha kerajaan diperkasa untuk melaksanakan matlamat NACP selain mendedahkan kemajuan 115 inisiatifnya secara dalam talian.
“Hanya dengan momentum dan komitmen sebegitu daripada kepemimpinan, trajektori indeks persepsi rasuah boleh kita terbalikkan,” katanya.
Markah CPI dan kedudukannya adalah berdasarkan 13 tinjauan dan penilaian pakar yang mengukur tanggapan tahap rasuah di dalam sektor awam sesebuah negara pada skala 0 (dianggap sangat korup) ke 100 (dianggap sangat bersih).