Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
‘Permohonan permit perjalanan berkaitan tugas bukan untuk semua’
Diterbitkan:  Jan 27, 2021 5:19 PM
Dikemaskini: 9:19 AM

Polis Sibu menjelaskan bahawa permohonan permit perjalanan untuk sektor perniagaan hanya diberikan kepada perniagaan yang dikategorikan sebagai perkhidmatan penting serta mereka yang ingin masuk dan keluar dari Sibu.

Ketua Polis Sibu ACP Stanley Jonathan Ringgit berkata mereka yang bukan dalam kategori tersebut seperti pekerja restoran atau kedai makan; kakitangan awam negeri dan persekutuan; dan pihak berkuasa tempatan tidak perlu memohon permit itu.

“Untuk perkhidmatan penting, permohonan diperlukan untuk menunjukkan bahawa hanya 30 peratus tenaga kerja yang bekerja dalam satu masa. Ini untuk mematuhi SOP yang ditetapkan oleh Jawatankuasa Pengurusan Bencana Bahagian Sibu (SDMC), " katanya kepada pemberita selepas mesyuarat SDMC di Sibu hari ini.

Oleh kerana terdapat kekeliruan dan kesilapan maklumat mengenai tempoh permohonan permit, orang ramai menyerbu balai-balai polis di Sibu semalam dan beratur panjang dalam cuaca hujan dan panas sekali gus menimbulkan kebimbangan boleh berlakunya penularan Covid-19.

Ada antara mereka yang menyarankan agar polis menyediakan urusan permohonan dan kelulusan secara dalam talian bagi mengelak perhimpunan di balai-balai polis.

“Bukan kami tidak mahu menjalankan urusan secara dalam talian. Kesemua pemohon perlu ditemu duga sebelum permohonan mereka diluluskan seperti diarahkan SDMC.

“Bukan semua permohonan akan diluluskan. Setiap permohonan perlu dikaji secara terperinci sebelum diluluskan,” tegasnya.

Stanley menjelaskan bahawa hanya seorang wakil daripada setiap syarikat perlu datang membuat permohonan permit berkenaan dengan membawa senarai nama pekerja mereka.

Jika diluluskan, hanya satu permit akan dikeluarkan dan senarai nama pekerja disertakan bersama-sama, manakala syarikat terbabit perlu membuat salinan kepada pekerja yang terlibat.

“Orang ramai semalam disebabkan kekeliruan kerana pekerja beranggapan mereka perlu hadir untuk membuat permohonan. Perkara itu telah diselesaikan dan bilangan mereka yang beratur untuk memohon telah berkurangan hari ini,” katanya, sambil menambah permohonan boleh dibuat bila-bila masa termasuk selepas waktu pejabat.

Sebanyak 2,770 permit dikeluarkan semalam, 723 permit pada 25 Jan dan 21 permohonan ditolak atas sebab-sebab tertentu.

Sementara itu, Stanley berkata pihaknya akan mendapatkan bantuan daripada Pasukan Gerakan Am (PGA) untuk menjalankan sekatan jalan raya di ladang kelapa sawit di Pasai Siong bagi menghalang penghuni rumah panjang menyelinap keluar susulan sekatan pergerakan yang dikenakan.

“Sebenarnya, belum ada statistik mengenai berapa ramai yang berjaya menyelinap keluar menerusi sekatan jalan raya sedia ada. Hanya terdapat desas-desus mengenai perkara itu, namun kami tetap meningkatkan sekatan jalan raya bagi menghalang kejadian demikian,” katanya.

Ketua kampung juga telah dipanggil dan diminta menasihatkan anak-anak buah mereka agar patuh kepada arahan sekatan pergerakan yang dikenakan di rumah panjang terbabit.

Beliau turut menafikan dakwaan polis akan menghentikan mana-mana kenderaan yang dinaiki lebih daripada seorang penumpang dan SOP hanya dua orang penumpang sahaja dibenarkan dalam satu kenderaan masih kekal seperti ditetapkan SDMC.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS