Perbualan pesanan teks antara bekas hakim Mahkamah Persekutuan Gopal Sri Ram dan bekas Peguam Negara Mohamed Apandil hanyalah perbualan antara "dua beradik", Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur diberitahu hari ini.
Menurut Timbalan Pendakwa Raya Ahmad Akram Gharib, perbualan WhatsApp pada 2018 tidak menunjukkan Sri Ram bersikap bias dalam usahanya mendakwa bekas Perdana Menteri Najib Razak.
"Nada perbualan secara keseluruhan adalah antara dua beradik.
"Ia adalah seorang brother (bekas) hakim menyatakan pandangannya kepada seorang lagi brother (bekas) hakim," katanya.
"Sri Ram tak pernah buat heboh yang dia tak suka Najib. Ia adalah (perbualan peribadi) antara dua orang (Sri Ram dan Apandi).
"Pemohon (Najib) gagal menunjukkan walau satu salah laku pendakwaan oleh Sri Ram, tanpa mengira apa saja (dakwaan) pertemuan atau (perbualan) WhatsApp (antara Sri Ram dan Apandi," katanya lagi kepada hakim Mohamed Zaini Mazlan.
Pada 12 Jun tahun lalu, Najib memohon agar Sri Ram digugurkan daripada menjadi pendakwa utama dalam kes pinda laporan audit 1MDB.
Permohonannya bergantung kepada afidavit oleh Apandi yang antara lain mendakwa Sri Ram cuba memujuknya untuk memainkan peranan dalam menangkap Najib.
Pada tahun lalu, Apandi menerusi hantara di Facebook mendakwa Sri Ram ke rumahnya pada Januari 2018 yang dikatakan atas arahan bekas perdana menteri Dr Mahathir Mohamad.
Salinan perbualan WhatsApp antara Apandi dan Sri Ram telah ditunjukkan semasa perbicaraan sebelum ini. Perbualan dikatakan berlaku sebelum dakwaan pertemuan itu.
Dalam perbicaraan hari ini, Akram menegaskan bahawa Sri Ram, selaku timbalan pendakwa raya ad hoc, tidak memiliki sebarang bias terhadap Najib memandangkan dia telah menjalankan tugas secara profesional.
Katanya, ia dapat dilihat dalam perbicaraan yang sedang berlangsung, di mana Sri Ram enggan memberi pandangan kepada pendakwaan berhubung bagaimana untuk mengendalikan permohonan Najib.
"Penyediaan hujahan bertulis ini disediakan saya, bukan dia. Dia malah tidak mahu tahu apa yang berlaku (berkenaan persediaan pendakwaan untuk berdepan permohonan Najib)," katanya.
"Saya emel (salinan penghujahan bertulis) kepadanya, tetapi dia tidak mahu membacanya...Saya minta pandangannya, tetapi dia tak mahu (beri nasihat kerana bimbang dilihat masuk campur).
"Maka, untuk mengatakan dia bias adalah tidak benar. Mereka tidak dapat tunjuk apa-apa bukti yang Sri Ram ada salah laku profesional," katanya lagi.
Dalam hujah balasnya, peguam Muhammad Shafee Abdullah berkata permohonan yang dibuat bukan untuk menghukum mana-mana individu, tetapi sebagai perlindungan daripada sebarang kebimbangan berlakunya bias.
"Ia perlindungan untuk pihak yang terlibat dan orang awam, serta untuk kepentingan keadilan.
"Keadilan bukan saja perlu dilaksanakan, tetapi dilihat yang ia dilaksanakan," katanya.
Katanya lagi, permohonan yang dibuat bukan untuk membatalkan keseluruhan perbicaraan kes pinda laporan audit 1MDB yang telah dibuat, tetapi hanya untuk melihat timbalan pendakwa raya menjalankan tugas tanpa sikap bias.