Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
MB S'gor: Keputusan isu nyah warta hutan simpan dalam sebulan lagi

WAWANCARA | Lebih setahun berlalu sejak cadangan untuk nyah warta 931 hektar hutan gambut di Hutan Simpan Utara Kuala Langat.

Dalam temu bual dengan Malaysiakini, Menteri Besar Selangor Amirudin Shari berkata perbincangan berterusan mungkin memerlukan masa sekurang-kurangnya sebulan lagi.

Namun, dia meyakinkan bahawa keputusan kerajaan negeri akan mempertimbangkan lebih 40,000 bantahan terhadap rencana tersebut.

"Apa yang kita nak pastikan, pelan pembangunan dapat diteruskan di kawasan terbabit, dan masih lagi mengekalkan sejumlah besar kawasan hutan dan kawasan komuniti Orang Asli yang tidak digugat, termasuk perkuburan mereka dan sebagainya," katanya.

Bagaimanapun, Amirudin menyifatkan sebahagian bantahan terhadap rencana berkenaan "tidak relevan".

"Kita terima lebih 40,000 bantahan, daripada NGO, individu-individu dalam negara dan luar negara, dan kita sedang teliti.

"Kerajaan negeri akan dapat laporan penuh dari Jabatan Hutan mengenai bantahan-bantahan itu," katanya.

Selain bantahan terhadap rancangan itu, faktor lain yang harus dipertimbangkan termasuk laporan yang diserahkan oleh pelbagai agensi negeri kepada sebuah jawatankuasa khusus yang ditugaskan untuk membentangkan penemuan tersebut kepada jawatankuasa eksekutif negeri.

Pada 5 Februari tahun lalu, Jabatan Perhutanan Selangor telah mengiklankan di beberapa surat khabar rencananya untuk nyah warta hutan simpan untuk tujuan projek pembangunan campuran.

Menanggapi notis 30 hari jabatan itu, pelbagai kumpulan alam sekitar, termasuk Greenpeace Malaysia, telah mengemukakan bantahan mereka. Terdapat juga kempen yang disasarkan untuk ahli parlimen di peringkat persekutuan dan negeri.

Menurut Greenpeace Malaysia, perintah kawalan pergerakan (PKP) yang dikuatkuasakan pada bulan tahun Mac lalu untuk menangani wabak Covid-19 telah menghentikan usaha mereka sehingga September ketika pihak berkepentingan menerima jemputan saat-saat terakhir untuk menghadiri sesi townhall yang diadakan di Pulau Carey, Klang.

Mereka yang hadir dan membantah termasuk ahli politik daripada kerajaan dan pembangkang, komuniti Orang Asli Temuan, NGO alam sekitar, agensi persekutuan dan juga sebuah syarikat swasta.

Amirudin, yang belum menerima laporan lengkap, juga menolak tanggapan berhubung "spesies terancam" yang terdapat di kawasan hutan gambut yang pertama kali diwartakan pada tahun 1927 itu

"Ada sebahagian bantahan itu tidak relevan sebab misalnya yang dikatakan spesies terancam, memang ada, tapi tetap masih ada di tempat lain dan tidak seperti digambarkan.

"Tapi apakah kerajaan negeri akan mem-bulldoze? Sudah pasti tidak," dia menambah.

Pergerakan keadilan sosial Aliran berpendapat bahawa rancangan itu akan mempengaruhi spesies seperti Beruang Matahari Malaya, Tupai

Terbang Kecil Selangor dan Ikan Laga Merah Langat, terutama dengan perubahan iklim yang semakin buruk.

Hutan Simpan Kuala Langat Utara juga merupakan tempat tinggal generasi Orang Asli dari suku Temuan, dengan jumlah penduduk sekitar 2,000 pada masa ini.

Mengulas lebih lanjut, Amirudin mengatakan, kerajaan negeri akan mempertahankan jumlah cadangan hutan yang "mencukupi", sekarang dianggarkan 31 peratus atau hanya satu peratus lebih tinggi dari ambang minimum 30 peratus.

Dia juga menyatakan bahawa persetujuan untuk nyah warta hutan simpan untuk pembangunan komersial dan projek pertanian bukanlah hal baru.

Menanggapi bantahan awal, Amirudin pada bulan Februari tahun lalu mengatakan bahawa setiap persetujuan untuk projek pembangunan campuran akan menjadikan negeri ini mewartakan kawasan hutan gambut baru "sekurang-kurangnya 1.092 hektar" sebagai ganti.

Pada masa itu, akhbar harian yang berpangkalan di Singapura, The Straits Times memetik sumber rasmi yang mengatakan bahawa Menteri Besar Diperbadankan yang dikendalikan oleh kerajaan negeri akan memiliki sekitar 364 hektar dari pembangunan yang dicadangkan, sementara selebihnya seluas 566,56 hektar akan diberikan kepada Titian Jutaria, sebuah syarikat swasta yang dilaporkan mempunyai kaitan dengan istana Selangor.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS