Persatuan Hotel Malaysia (MAH) meminta orang ramai agar menunggu pengumuman rasmi daripada pengurusan bagi mengesahkan penutupan sebuah hotel lima bintang yang memiliki 662 bilik di Pulau Pinang.
Pengerusi MAH cawangan Pulau Pinang Raj Kumar memberitahu Bernama dia mengetahui tentang memorandum dalaman mengenai penutupan Hotel Equatorial yang tular di media sosial.
Memorandum itu menyebut bahawa hari terakhir operasi hotel tersebut akan diputuskan sebelum 31 Mac tahun ini susulan kesan teruk yang dialami akibat penularan pandemik Covid-19.
Katanya dia cuba menghubungi pengurus besar hotel itu Alan Ong untuk mengesahkan kenyataan tersebut namun belum membuahkan hasil setakat ini.
“Kita hanya boleh menunggu sehingga pasukan pengurusan hotel itu membuat pengumuman rasmi.
"Bagaimanapun, jika perkara ini benar, ia adalah sesuatu yang benar-benar menyedihkan kita,” katanya.
Terletak di kawasan anak bukit Bukit Jambul dan berhampiran Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang, Hotel Equatorial beroperasi sejak akhir tahun 1980-an.
- Bernama