Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi mempersoalkan bilakah kerajaan Perikatan Nasional akan memberikan bantuan tunai secara sekali bayar (one-off) RM500 kepada pemandu e-hailing seperti yang diumumkan sebelum ini.
Dalam hantaran di Facebook, Ahmad Zahid memberitahu mengenai pendapatan pemandu e-hailing yang terjejas akibat pelaksanaan perintah kawalan pergerakan (PKP) 2.0.
“Terima kasih kerajaan mengumumkan bantuan one-off RM500 kepada pemandu e-hailing. Bila ia akan diberi?” soalnya.
Pada 18 Januari, Perdana Menteri Muhyiddin Yassin melalui Pakej Bantuan Perlindungan Ekonomi dan Rakyat Malaysia (Permai) mengumumkan bantuan khas secara sekali bayar sebanyak RM500 kepada pemandu teksi, bas dan perkhidmatan pengangkutan e-hailing serta pemandu pelancong.
Ahmad Zahid berkata semalam dia menerima dua video memaparkan kesusahan pemandu e-hailing yang terbeban dengan kadar komisen tinggi dikenakan kepada mereka.
"Mereka mengeluh, merayu dan berharap komisen 20 peratus diturunkan. Jika tidak kepada 10 peratus, 15 peratus sudah memadai.
Justeru Ahmad Zahid juga meminta supaya syarikat e-hailing mengurangkan potongan komisen supaya dapat meringankan pemandu e-hailing.
"Pemandu bersusah payah seawal 8 pagi pulang lewat malam demi sesuap nasi.
"Ada yang meraih pendapatan kasar hanya RM68 sehari, ada yang dapat RM59. Malah ada cuma beroleh RM24 hingga RM38 sehari.
"Jika komisen dipotong terlalu banyak, apa yang boleh mereka bawa pulang," katanya.