Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Anwar ke mahkamah, cabar nasihat PM gantung parlimen
Diterbitkan:  Jan 26, 2021 1:49 PM
Dikemaskini: 5:57 AM

Ketua pembangkang Anwar Ibrahim memfailkan permohonan kebenaran untuk memulakan semakan kehakiman terhadap keputusan kerajaan menggantung parlimen dalam tempoh darurat.

Antara lain Anwar memohon deklarasi dari mahkamah bahawa nasihat perdana menteri kepada Yang di-Pertuan Agong untuk menggantung parlimen dalam tempoh darurat adalah bertentangan undang-undang dan tidak mengikut perlembagaan.

"Perlu ditekankan di sini bahawa apa yang dicabar dalam permohonan tersebut bukannya pengisytiharan darurat, tetapi keputusan Perdana Menteri (melalui Jemaah Menteri) untuk Yang di-Pertuan Agong untuk meluluskan kaedah 14 Ordinan Darurat (Kuasa-Kuasa Perlu) 2021 yang menggantung persidangan Parlimen dalam tempoh darurat tersebut.

"Nasihat Perdana Menteri tersebut adalah dikatakan bertentangan undang-undang ,” kata peguam Anwar, Ramkarpal Singh dalam satu kenyataan hari ini.

Tuntutan sama difailkan Khairuddin Abu Hassan minggu lepas, antara lain meminta mahkamah memutuskan apakah nasihat Muhyiddin tidak sah kerana dia didakwa kehilangan sokongan majoriti anggota parlimen di Parlimen ketika menasihati Agong pada 11 Jan.

Setakat 11 Januari, sekurang-kurangnya dua ahli parlimen Umno - Ahmad Jazlan Yaakub (Machang) and Tengku Razaleigh Hamzah (Gua Musang) - menarik sokongan mereka terhadap Muhyiddin.

Pada masa itu, bilangan sokongan Muhyiddin adalah seramai 110 berbanding 220 ahli parlimen, kerana terdapat dua kerusi kosong di Dewan Rakyat daripada keseluruhan 222 kerusi.

Setakat ini, hanya ada satu ordinan diwartakan oleh kerajaan pusat - Ordinan Darurat (Kuasa-Kuasa Perlu) 2021 - sejak pengisytiharan darurat.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS