Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
‘Usahakan sesuatu supaya peniaga pasar malam tak gulung tikar’
Diterbitkan:  Jan 26, 2021 12:03 PM
Dikemaskini: 4:03 AM

Ahli Parlimen Lembah Pantai Fahmi Fadzil mendesak kerajaaan supaya mengusahakan sesuatu supaya peniaga pasar malam yang dilarang berniaga pada musim perintah kawalan pergerakan (PKP) tidak “menggulung tikar.”

Katanya, dia menerima banyak aduan daripada peniaga pasar malam yang mengeluh kerana mereka tidak diberi layanan seadilnya untuk mencari rezeki.

“Kerajaan mesti usahakan sesuatu sebelum mereka benar-benar ‘gulung tikar’

“Pengusaha pasar malam merasakan pasar malam dianaktiri sebab pasar pagi boleh, peniaga tepi jalan pun boleh, tapi pasar malam masih tak boleh,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Semasa PKP 2.0 yang sedang berkuat-kuasa di seluruh negeri kecuali di Sarawak sehingga 4 Februrai, pasar pagi dan tani boleh dibuka manakala kedai makan pula boleh beroperasi bermula jam 6 pagi sehingga 10 malam.

“Sepanjang 2020 sewaktu PKP 1.0 diikuti PKPB dan PKPP, ramai peniaga pasar malam sangat terkesan kerana tidak dapat berniaga. Pendapatan merudum. Peluang tidak banyak. Bantuan juga tidak mencukupi.

“Tahun ini, dengan PKP 2.0 yang belum tentu tamat 4 Februari, mereka merasakan nasib para peniaga pasar malam mungkin malang sekali lagi.

“Saya telah mengadakan sedikit perbincangan dengan beberapa persatuan, pengusaha dan peniaga pasar malam. Pada pandangan saya, pihak kerajaan boleh mengubah dasar tanpa melonggarkan SOP sedia ada,” katanya.

Fahmi berkata prosedur operasi standard (SOP) pasar malam sewaktu PKP bersyarat (PKPB) tahun lalu masih boleh digunakan, termasuk mengurangkan jumlah tapak dan mengehad jalan keluar dan masuk, jika bilangan pengunjung yang ramai menjadi isunya.

Menurutnya, peniaga pasar malam sedia untuk mengubah waktu operasi mereka, seperti menukar waktu lazim 5 petang ke 10 malam, menjadi 2 petang ke 7 malam, asalkan dibenarkan berniaga.

“Dari pasar malam, pengusaha bersedia jadi ‘pasar petang’. Yang penting mereka ada peluang berniaga,” katanya.

Di bawah PKP 2.0 yang sedang dilaksanakan, operasi pasar malam dan bazar malam adalah tidak dibenarkan, sebaliknya pasar harian, pasar tani dan pasar borong dibenarkan mengikut waktu operasi tertentu.

PKP kali pertama dilaksanakan pada 18 Mac tahun lalu, sebelum dilonggarkan secara berperingkat menerusi PKPB dan PKP pemulihan (PKPP).

Pada tahun lalu, pasar malam dibenarkan beroperasi semula bermula 15 Jun, dalam fasa PKPP yang bermula 10 Jun 2020, dengan syarat mematuhi SOP ketat yang disediakan.

Selain itu, Fahmi meminta agar peniaga pasar malam dibantu, antaranya dengan memperbaharui lesen mereka secara automatik tanpa kos tambahan, selain memasukkan peniaga pasar malam berlesen yang hilang pendapatan sebagai salah satu kategori di dalam Program Subsidi Upah 3.0.

Jika kerajaan tetap tidak bersedia membenarkan pasar malam dibuka, maka kata Fahmi, setidak-tidaknya, kerajaan harus mengusahakan project rintis e-pasar dengan mengguna pakai konsep dapur berpusat, atau mempertimbang semula idea e-bazar Ramadan tahun lalu dengan SOP yang ditambah baik.

Ini boleh dilakukan dengan dengan bantuan aplikasi seperti FoodPanda, Grab, Shopee dan sebagainya.

Sebelum ini, terdapat NGO bersama peniaga pasar malam yang mengadu periuk nasi mereka terjejas teruk, dan mengugut untuk berkumpul di hadapan pejabat perdana menteri sekiranya mereka tetap tidak dibenarkan berniaga dalam tempoh enam bulan.



Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS