Seorang lelaki membuat laporan polis semalam setelah satu set barang kemas yang dipakai ibunya yang meninggal dunia akibat Covid-19 hilang di hospital Tuanku Jaafar di Seremban.
T Narenthiran, 31, mendakwa ibunya masih memakai set perhiasan berkenaan ketika dia dan kakaknya membawa wanita itu ke bahagian kecemasan setelah mengalami demam dan kesukaran bernafas pada Ahad lalu.
Set barang kemas itu adalah rantai emas berharga RM7,500, subang telinga emas berharga RM1,750, tiga gelang dan sebentuk cincin.
Ibu Narenthiran meninggal dunia pada hari yang sama dia dibawa ke hospital.
Namun, ketika Narenthiran menuntut mayat ibunya pada hari berikutnya, pihak hospital hanya menyerahkan borang harta benda pesakit dan hanya sebentuk cincin emas sahaja berada dalam senarai borang tersebut,
"Kini barang-barang kemas milik ibu saya telah hilang dan saya percaya kehilangan tersebut daripada bahagian kecemasan atau bilik mayat," katanya dalam laporan polis yang dilihat oleh Malaysiakini.
Narenthiran juga mendakwa pihak hospital secara tidak sengaja telah menyerahkan mayat yang salah.
"Setelah mendapat kebenaran daripada pegawai KKM encik Nahar untuk membuka bungkusan mayat ibu saya, dan saya dapati pihak hospital telah menyerahkan jasad orang lain iaitu satu lelaki India yang tidak dikenali yang juga mati disebabkan Covid-19.
"Jasad ibu saya pula berada dalam van jenazah bersama orang lain untuk dibawa pergi," katanya.
Katanya, selepas teguran dibuat, pihak hospital telah menyerahkan jasad ibunya, namun pemeriksaan terhadap barang-barang kemas mendapati ia sudah tidak ada.
"Saya syaki ada pekerja hospital telah hospital telah mengambil barang-barang kemas tersebut dan jumlah kerugian adalah dalam lebih kurang RM9250," katanya.
Ketika dihubungi, ketua polis Seremban Mohd Said Ibrahim mengesahkan telah menerima laporan dan mengatakan pihak polis sedang menyiasat kes itu.
Sementara itu, peguam S Selvam, yang membantu Narenthiran, berkata, barangan kemas berkenaan telah dijumpai dan dipulangkan kepada keluarganya, petang tadi.
Selvam memberitahu Malaysiakini bahawa pihak hospital telah memohon maaf kepada Narenthiran berhubung kekalutan yang berlaku dengan menyerahkan jasad yang salah kepada keluarga tersebut.