Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Pekerja asing perlu divaksin untuk imuniti kelompok, pemulihan ekonomi

WAWANCARA | Sokongan kerajaan Selangor untuk rancangan vaksinasi Covid-19 yang akan dilaksanakan Putrajaya bakal turut merangkumi sekitar satu juta pekerja asing di negeri ini, menurut Menteri Besar Amirudin Shari.

Dalam temu bual dengan Malaysiakini, dia mengatakan bahawa vaksinasi pekerja asing mesti diambil kira untuk mencapai sasaran 70 peratus imuniti kelompok di seluruh negeri. Selangor mempunyai populasi lebih enam juta penduduk.

"Sudah tentu kita ingin melindungi semua rakyat, sebab teorinya, untuk mendapatkan imuniti kelompok, kita perlu memvaksinasi sekitar 65 hingga 70 peratus masyarakat kita.

"Tapi kesannya apa? Selepas mendapat vaksin, saya dimaklumkan orang itu hanya akan immune (kebal) tapi dia masih boleh jadi carrier (pembawa) kepada virus ini. Jadi suka atau tidak orang lain juga harus immune (kebal) kepada virus tersebut," katanya.

Amirudin berkata ini akan merangkumi pekerja warga asing yang tinggal bersama penduduk tempatan. Amirudin menyorot beberapa kawasan kilang di zon perindustrian Selangor.

"Kita ada dalam anggaran angka yang sangat konservatif, sekitar satu juta warga asing di Lembah Klang, atau mungkin lebih. Mereka juga memerlukan vaksin untuk terus bekerja dan selepas itu boleh terus berkomuniti," katanya.

Kluster Teratai - kluster jangkitan yang dikaitkan dengan pekerja kilang Top Glove di Klang - muncul sebagai kluster aktif terbesar di negara ini sejak November lalu, dengan 7,083 kes direkodkan hingga kini.

Pada tahap puncak, kluster itu mencatat lebih dari 1,000 jangkitan harian baru, menyebabkan Selangor mencatat kes harian lebih tinggi dariapda Sabah yang sebelum itu menyaksikan lonjakan kes selepas pilihan raya.

Meskipun sekatan di bawah perintah kawalan pergerakan diperketatkan (PKPD) dilaksanakan, dilaporkan pada 2 Desember bahawa 150 penularan kes dalam masyarakat yang terkait dengan Kluster Teratai.

"Sudah pasti mereka (warga asing) juga memerlukan vaksin, kerana mereka tinggal bersama dengan komuniti.

"Jika tidak, komuniti (tempatan) kita immune, tapi pada masa yang sama ada warga asing yang tidak immune kerana kita tidak memberikan vaksin kepada mereka," katanya.

"Inilah sebabnya mengapa kerajaan negeri juga siap memberikan vaksin untuk pekerja asing berdaftar, melalui majikan mereka, untuk mencapai imuniti kelompok," tambahnya.

Tidak seperti rakyat Malaysia, Amirudin mengatakan pekerja asing tidak akan diberi vaksin secara percuma.

Kerajaan negeri kemungkinan menawarkan vaksin dengan harga subsidi atau dengan harga kos tanpa mengambil untung, kata Amirudin.

Kerajaan persekutuan telah menetapkan sasaran bulan Mac untuk melancarkan fasa pertama rancangan vaksinasi yang akan berlangsung 12 bulan.

Amirudin mengatakan rancangan Selangor pula akan bergantung pada hasil akhir rundingan yang sedang berlangsung dengan beberapa pengeluar vaksin yang tidak didedahkan.

Katanya, pelbagai pilihan juga akan dipertimbangkan oleh jawatankuasa khas yang diketuai oleh exco Kesihatan, Wanita dan Pemerkasaan Keluarga Selangor Dr Siti Mariah Mahmud bersama beberapa anggota pasukan petugas Covid-19 Selangor.

"Mereka mesti membentangkan berdasarkan kos, keberkesanan dan kesesuaian. Contohnya, vaksin Pfizer memerlukan dua dos, sementara yang lain hanya memerlukan satu.

"Ini adalah isu-isu yang sedang dibincangkan dan ada perincian yang harus saya bincangkan lebih lanjut dengan menteri kesihatan agar kita mendapat persetujuan untuk menggunakan vaksin," tambahnya.

Bulan lalu, Amirudin mengumumkan hasrat kerajaan Selangor untuk membeli lima juta dos vaksin Covid-19, langkah yang menurutnya disambut baik oleh kerajaan pusat kerana beban mereka akan diringankan.

'Kos tinggi terlibat'

Berkenaan dengan kos keseluruhan, Amirudin mengatakan perkiraan peribadinya adalah bahawa vaksinasi satu pertiga atau sekitar dua juta populasi keseluruhan Selangor akan menelan belanja sekitar RM200 juta.

"Ini untuk vaksin yang sedikit lebih murah daripada Pfizer," katanya.

Ditanya lebih lanjut, Amirudin berkata, anggaran yang diunjurkan tidak diambil kira dalam belanjawan negeri Selangor untuk tahun ini yang dibentangkan pada 30 Oktober lalu.

"Kerana beberapa perkembangan baru-baru ini, misalnya, rancangan kerajaan persekutuan untuk hanya menyediakan vaksin untuk rakyat Malaysia, kami memutuskan kami mesti melakukan sesuatu.

"Sudah tentu, akan ada orang yang mengatakan bahawa kita mengutamakan warga asing, tetapi saya berfikir dalam konteks ekonomi negara," katanya, memperingatkan bahawa tidak memvaksinasi pekerja asing dapat melumpuhkan sektor pembuatan negeri.

Pada masa yang sama, Amirudin mengatakan bahawa dia tidak setuju dengan penutupan ekonomi sepenuhnya seperti perintah kawalan pergerakan (PKP) pertama tahun lalu.

Dia mencadangkan agar rakyat Malaysia harus siap untuk hidup dengan norma baru di tengah wabak penyakit.

Dia menanggapi laporan berita berdasarkan sepucuk surat Ketua Eksekutif Dewan Perniagaan dan Industri EU-Malaysia (Eurocham Malaysia), Sven Schneider kepada anggotanya, bahawa Putrajaya kemungkinan mengumumkan penutupan penuh ekonomi selepas 4 Februari, seandainya jumlah Kes Covid-19 terus meningkat.

Eurocham, bagaimanapun, kemudian menjelaskan surat itu untuk pekeliling dalaman susulan pertemuan dengan Miti.

Ia juga menjelaskan bahawa meskipun Miti menekankan situasi semakin terdesak, dengan kes yang semakin meningkat, surat itu tidak ada menyebut penutupan serta-merta.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS