Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Paip bocor selesai bulan ini - exco
Diterbitkan:  Jan 25, 2021 3:07 PM
Dikemaskini: Jan 27, 2021 4:54 AM

  • Laporan ini diubah setelah mendapati terdapat pembetulan terhadap kenyataan exco dibuat. - pengarang

Gangguan bekalan air membabitkan lebih 32,000 akaun pengguna akibat kerosakan di Loji Rawatan Air Merbau Chondong, Pulai Chondong, Kelantan, dijangka mengambil masa sehingga hujung bulan ini untuk diperbaiki.

Exco Kerja Raya, Infrastruktur, Pengangkutan dan Utiliti, Azami Mohd Nor berkata kerja-kerja pembaikan kini sedang giat dijalankan oleh kontraktor.

Sehubungan itu katanya, Air Kelantan Sdn Bhd (AKSB) mengambil beberapa langkah jangka pendek diambil antaranya menyediakan tangki statik sejumlah 49 buah dengan kapasiti 200 hingga 2,000 gelen dan diletakkan di kawasan terjejas membabitka 30 lokasi di Jajahan Machang, 12 di Jajahan Pasir Puteh dan tujuh lokasi di Jajahan Kota Bharu Selatan.

"Pihak AKSB turut dibantu oleh operator air luar seperti dari Syarikat Air Johor, Lembaga Air Perak, Syarikat Air Terengganu, Syarikat Air Negeri Sembilan dan Syarikat Air Darul Aman," katanya dalam hantaran AKSB di Facebook, semalam.

Terdahulu Malaysiakini pada 23 Jan lalu melaporkan sebanyak 32,018 akaun melibatkan beberapa kawasan dalam empat jajahan mengalami gangguan bekalan air

Dalam notis hebahan yang dikeluarkan semalam, AKSB memaklumkan daerah terlibat ialah Machang yang membabitkan 16,000 akaun, Pasir Puteh (9,539), Kota Bharu Selatan (5,979) dan Kota Bharu Timur (500).

Sementara itu, Pengerusi Majlis Tindakan Air Jajahan Machang(MTAJ) Azhar Salleh memohon supaya masyarakat yang terlibat bersabar.

Katanya, pihak AKSB juga akan berusaha untuk menyediakan bekalan air termasuk kepada pejabat-pejabat agensi dan sekolah yang turut terjejas.

"Alhamdulillah, kita dapati pihak AKSB sentiasa bertungkus lumus bersama kontraktor menjalankan pembaikian paip ini dan mengambil langkah-langkah terbaik bagi mengatasi bekalan air kepada pengguna," katanya yang juga anggota Dewan Undangan Negeri (Adun) Pulai Chondong.

Sebagai rekod kerosakan paip di loji sama sudah berlaku pada Ogos tahun lalu melibatkan hampir 40,000 akaun pengguna yang terjejas.

Ekoran itu, Menteri Besar Kelantan Ahmad Yakob tampil memohon maaf secara terbuka kepada rakyat atas kesulitan yang dihadapi itu.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS