Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Suaram: Satu lagi kematian ngeri tahanan bukti perlunya IPCMC
Diterbitkan:  Jan 24, 2021 4:38 PM
Dikemaskini: 8:38 AM

Pengarah eksekutif Suaram Sevan Doraisamy mengecam tindakan pihak yang terlibat dalam kematian G Jestus Kevin di Ibu Pejabat Polis Daerah Bentong pada 2 April tahun lalu.

Jelasnya, dakwaan penyalahgunaan kuasa berhubung isu ini menunjukkan perlunya Suruhanjaya Bebas Aduan dan Salah Laku Polis (IPCMC).

“Hasil kajian Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam) berhubung kematian G Jestus Kevin memperlihat cara mengerikan di mana banduan itu meninggal hanya tiga hari selepas ditahan.

“Berdasarkan siasatan laporan Suhakam, didapati bahawa polis mengarahkan tahanan lain memukul Jestus Kevin untuk mengawalnya kerana bersikap aneh malah cuba membunuh diri.

“Suaram terkesan dengan sikap pegawai polis yang diberi kepercayaan serta seharusnya memastikan perlindungan dan kesejahteraan orang yang ditahan ini namun menggunakan kuasa mereka secara tidak sah untuk mengawal banduan dengan cara kejam dan tidak berperikemanusiaan," kata Sevan dalam satu kenyataan hari ini.

Untuk rekod, Suhakam mendapati Jestus ditahan kerana disyaki mencuri pada April lalu namun meninggal dunia akibat bengkak otak akibat hentakan benda tumpul (blunt force trauma).

“Ini berlaku selepas dia dipukul oleh dua tahanan atas arahan pegawai polis dan seorang doktor forensik kemudian mengesahkan bahawa si mati mengalami banyak kecederaan, termasuk tulang rusuk patah.

“Tahanan lain di lokap memberi keterangan bahawa si mati diikat menggunakan selimut, dan dipukul oleh tahanan lain - seperti yang disahkan oleh rakaman CCTV," kata pesuruhjaya Suhakam, Jerald Joseph menerusi sidang media dalam talian minggu lalu

Peraturan Standard Minimum Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu untuk Layanan Terhadap Tahanan dengan jelas menyatakan bahawa "semua tahanan harus diperlakukan dengan penuh hormat serta keselamatan tahanan harus dijamin setiap masa".

Suaram menegaskan bahawa isu berkenaan sangat parah dan ia bukan kes baru atau unik.

Sejarah kematian tahanan di Malaysia sudah lama ekoran banyak banduan mati dalam keadaan yang mencurigakan tetapi hampir tiada kejadian yang membawa kepada sabitan, sehingga membawa kepada dakwaan bahawa polis sendiri menutup kes tersebut.

“Oleh kerana kekerapan insiden seperti itu, ada keperluan mendesak untuk badan bebas dan tidak berat sebelah yang dapat menyiasat salah laku oleh polis, seperti IPCMC.

“Dua minggu lalu, rakyat Malaysia dikejutkan dengan seorang gadis muda dirogol oleh tahanan ketika berada dalam lokap di Miri," katanya.

Jelas Sevan, ini merupakan rentetan dakwaan salah kuasa polis yang dipantau selama bertahun-tahun oleh NGO dan badan lain.

Tambahnya, Suaram turut memuji kajian dan penemuan Suhakam dalam kes ini.

“Siasatan seperti ini sangat penting untuk memastikan bahawa tindakan penderaan yang dilakukan pihak polis, pelakunya dipertanggungjawab serta mangsa dan keluarga dapat menuntut ganti rugi.

“Kita harap Suhakam akan terus menangani isu-isu pelanggaran hak asasi manusia oleh pihak berkuasa dan terus bekerjasama dengan anggota masyarakat sivil, pihak perundangan dan eksekutif untuk mendorong IPCMC.

“Kami juga menggesa kerajaan untuk segera meratifikasi Konvensi Persatuan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) terhadap penyeksaan atau hukuman kejam tidak berperikemanusiaan yang telah disahkan oleh 171 negara di seluruh dunia," tambahnya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS