Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
T'ganu disaran laksana kembali pemberian e-book
Diterbitkan:  Jan 24, 2021 2:13 PM
Dikemaskini: 6:13 AM

Kerajaan Negeri Terengganu disaran melaksanakan kembali pemberian e-Book khususnya kepada pelajar yang kurang berkemampuan bagi membantu mereka mengikuti sesi Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) secara dalam talian.

Anggota Dewan Undangan Negeri (Adun) Seberang Takir Datuk Seri Ahmad Razif Abd Rahman yang juga bekas Menteri Besar Terengganu berkata inisiatif itu boleh dilakukan menerusi kerjasama dengan mana-mana pihak termasuk syarikat berkaitan kerajaan (GLC).

“Sekiranya tidak mampu untuk beri (e-Book) kepada semua pelajar, kerajaan negeri boleh beri kepada pelajar yang memerlukan sahaja atau daripada keluarga B40,” katanya kepada pemberita selepas menyampaikan bantuan makanan kepada petugas kesihatan di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) di Kuala Terengganu hari ini.

Untuk rekod, Terengganu menjadi pelopor kepada kelas maya di negara ini pada 2009 yang menyaksikan pengagihan e-Book dilakukan dengan dilengkapi perisian akademik mengikut sukatan pelajaran kepada pelajar sekolah rendah dan menengah.

Namun program itu dihentikan pada 2015 dan digantikan dengan pelaksanaan i-Class yang dilengkapi sistem komputer dan kemudahan Internet yang mana keutamaan diberikan kepada sekolah yang mempunyai capaian internet yang pantas.

Sementara itu, Ahmad Razif berkata bagi membantu pelajar yang kurang berkemampuan, Pejabat DUN Seberang Takir turut menyediakan sebuah makmal komputer untuk memastikan mereka tidak ketinggalan dalam pelajaran.

Katanya makmal itu mempunyai 30 komputer dengan dilengkapi kemudahan dan turut dibuka kepada pelajar universiti yang mengikuti kelas dalam talian.

“Namun makmal ini buat masa sekarang tidak dapat digunakan berikutan PKP (Perintah Kawalan Pergerakan), selepas tempoh PKP ini kita akan buka kembali dan sesiapa sahaja dari Seberang Takir yang mempunyai kesukaran seperti tidak cukup gajet di rumah boleh datang ke situ,” katanya.

Terdahulu beliau menyampaikan sumbangan makanan kepada 140 petugas kesihatan di HSNZ bagi menghargai jasa dan mengurangkan tekanan mereka dalam merawat pesakit Covid-19.

Dalam pada Ahmad Razif berkata beliau turut menyumbangkan RM10,000 daripada elaunnya sebagai Adun pada bulan ini, masing-masing RM5,000 kepada HSNZ dan kerajaan negeri.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS