Paling Popular
Terkini

ULASAN | Menurut Seksyen 309 Kanun Keseksaan, cubaan membunuh diri adalah jenayah yang boleh membawa kepada hukuman penjara setahun atau denda atau kedua-duanya sekali jika disabitkan kesalahan. Bunuh diri atau cubaan bunuh diri dilihat memberi kesan mendalam pada diri, keluarga, dan masyarakat.

Dari segi perubatan, bunuh diri dilihat sebagai satu tindakan manusia yang menyebabkan kematian kepada diri sendiri, di mana dalam kebanyakan keadaan si pelaku telah menunjukkan keinginan mereka untuk bunuh diri.

Bunuh diri boleh berlaku secara spontan dan juga secara dirancang di mana pelaku biasanya memperlihatkan tanda-tanda amaran melalui penyataan lisan ataupun meninggalkan surat atau nota terakhir. Antara tanda amaran lain yang dapat dilihat seperti perubahan personaliti, menjauhkan diri daripada orang ramai serta peningkatan penggunaan alkohol dan penyalahgunaan dadah.

Bunuh diri dilihat sebagai satu reaksi tragik kepada tekanan yang melampau dan tidak mampu ditangani dengan baik apabila hidup di dunia sudah tidak dirasakan indah lagi. Pelaku biasanya merasakan bahawa hidup mereka tiada lagi harapan dan masa depan, dan membuat kesilapan dengan memilih bunuh diri sebagai satu jalan penyelesaian, jalan keluar, jalan pintas atau jalan singkat kepada permasalahan tersebut. Ini kerana orang yang bahagia sama ada ada beragama tidak, mana mungkin sanggup menjadi Tuhan mengambil nyawanya sendiri.

Dalam kes sebegini, kelebihan orang yang beragama dan beriman akan menahan juga mendorong untuk tidak membunuh diri kerana terdapat unsur-unsur ruhiyyah, natijah keimanan yang berupaya menghalang cubaan bunuh diri.

Risiko untuk seseorang membunuh diri meningkat apabila terdapat sejarah keluarga, penyalahgunaan dadah, masalah kesihatan mental seperti depresi dan juga masalah kesihatan yang kronik seperti kanser. Di samping itu, situasi semasa juga dilihat banyak menyumbang kepada risiko membunuh diri seperti yang dapat dilihat semasa situasi pandemik Covid-19 ini. Ramai yang terpaksa berhadapan dengan situasi getir kehilangan pekerjaan dan pendapatan, ketakutan serta stigma masyarakat itu sendiri.

Bunuh diri secara dasarnya dilihat sebagai jenayah ke arah diri sendiri dan tidak memudaratkan orang lain atau lebih popular juga dikatakan sejenis jenayah tanpa mangsa (victimless crime).

Namun begitu, keinginan untuk bunuh diri mahupun cubaan membunuh diri membawa kesan kepada emosi pelaku. Pelaku biasanya tidak boleh lagi berfungsi dengan baik dan menjalankan tugas-tugas hariannya kerana terlampau memikirkan keinginan mereka untuk bunuh diri.

Malahan, jika cubaan bunuh diri yang tidak berjaya menyebabkan kematian, ianya boleh membawa kepada kecederaan fizikal yang sangat serius dan juga kecacatan kekal. Kesan emosi turut dirasai oleh keluarga, saudara mara dan juga masyarakat setempat. Malahan kejadian bunuh diri juga boleh menyumbang kepada kos pengurusan yang tinggi sama ada dari segi perubatan mahupun pengurusan mayat.

Bukan semua selesai dengan hukuman

Kejadian bunuh diri adalah sesuatu yang boleh dielakkan. Terdapat beberapa rawatan farmakoterapi dan juga psikoterapi yang boleh diberi bagi merawat punca masalah tersebut.

Masyarakat perlu dididik untuk peka dan mengenal pasti tanda-tanda amaran yang ada berlaku samada pada ahli keluarga, rakan sejawat ataupun sesiapa sahaja. Bantuan dan sokongan emosi perlu disediakan oleh pelbagai pihak bagi membolehkan seseorang yang mempunyai masalah emosi dan kecelaruan bagi mendapatkan bantuan.

Malahan kerajaan juga perlu lebih prihatin kepada mereka yang mengalami kesusahan terutama semasa pandemik ini, dengan meringankan beban termasuklah beban kewangan. Pihak media juga boleh memainkan peranan untuk tidak mensensasikan berita-berita yang melibatkan bunuh diri dan bersifat prejudis kepada mangsa, tetapi perlu diubah kepada berita yang boleh membangkitkan kesedaran dan pendidikan kepada masyarakat.

Peranan undang-undang pada asasnya adalah untuk mendidik masyarakat, bukan secara totok menghukum terutamanya bagi kes-kes depresi ,emosi tidak terkawal dan jenayah tanpa mangsa.Undang-undang seharusnya lebih bersifat memahami dan menyelesaikan, bukan jenis kawal dan perintah (command and control) secara semberono.

Saya berpandangan bukan semuanya hal-hal masyarakat boleh diselesaikan dengan menjatuhkan hukuman dan undang-undang bukan semata-mata bertujuan untuk menghalang jenayah (deterrence). Seperti yang dimaklumi, Covid-19 terkesan pada semua golongan yang memungkinkan kenaikan statistik bunuh diri akibat kesan persekitaran.

Bantu, bukan dibuntu

Harapnya draf undang-undang untuk memansuhkan cubaan bunuh diri sebagai satu jenayah akan dipercepatkan selaras gesaan pakar psikiatri juga pengamal undang-undang bagi mengelakkan masyarakat terjerumus kepada permasalahan lebih besar ialah kemasukan pesalah ke dalam penjara yang menghilangkan punca pendapatan keluarga, menjatuhkan nama baik juga reputasi keluarga, merosakkan institusi keluarga dan sebagainya.

Mereka seharusnya dibantu bukan diberikan jalan buntu kepada permasalahan yang semakin meruncing.

Diharapkan juga agar institusi kesihatan mental juga agama mengambil peranan dan memperkasakan sistem sedia ada. Rakyat juga harus bersikap terbuka menerima hakikat dirinya atau keluarganya mengalami masalah mental dan segera mendapatkan rawatan.

Stigma bahawa seorang itu boleh dicop gila jika mendapatkan rawatan di institusi mental perlu dihapuskan dan diberi kesedaran secara menyeluruh.Masalah kemurungan, emosi atau depresi yang berlarutan boleh terjadi pada sesiapa sahaja walau pada orang beragama atau kuat agama mungkin sebagai satu ujian.

Oleh itu pesakit haruslah dibantu dengan terapi jiwa dan nasihat institusi mental juga agama dan tidak terlalu memberatkan isu-isu semasa yang remeh temeh. Pesakit seharusnya tidak dihukum dengan penjara dan denda yang menaikkan persoalan keberkesanan hukuman sebegini. 


DR NATASYA ABDULLAH adalah pensyarah perubatan di Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan, Universiti Sains Islam Malaysia.

DR NOOR DZUHAIDAH OSMAN adalah pensyarah kanan di Fakulti Syariah dan Undang-undang, Universiti Sains Islam Malaysia.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS