Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
'Kerajaan tak berani sentuh golongan kaya, pemilik bank'

Kerajaan Perikatan Nasional (PN) sekarang tidak melaksanakan dasar moratorium pinjaman secara automatik seperti sebelum ini kerana mereka tidak berani 'menyentuh' golongan kaya.

Presiden PKR Anwar Ibrahim berkata sepatutnya dilaksanakan seperti ketika negara berada dalam perintah kawalan pergerakan (PKP) kali pertama pada Mac tahun lalu.

Anwar yang juga pengerusi Pakatan Harapan (PH) berkata golongan yang takut disentuh oleh kerajaan itu merujuk kepada pemilik bank yang ada di negara ini.

Katanya PN ketika ini dilihat langsung tidak mencuba untuk mengadakan perbincangan dengan pemilik bank bagi membantu meringankan beban rakyat yang berhutang selepas moratorium terdahulu tamat pada 30 Sept lalu.

"(Berdasarkan) pengalaman saya yang sedikit ini, saya ingin nyatakan bahawa cara menangani masalah ekonomi dalam krisis tidak sama (dengan) dalam keadaan biasa.

"Sebab itu soal defisit, soal hutang termasuk soal moratorium harus difikir dari sudut mendesak (demi) untuk menjaga kepentingan rakyat dan tidak melemahkan kedudukan ekonomi," katanya.

Menurut ahli parlimen Port Dickson itu lagi moratorium pinjaman bank ini harus ditampung semua pihak.

Dasar sangat prokapitalis

Sebelum ini kata Anwar dia ada berbahas di Dewan Rakyat dan memaklumkan keuntungan setahun dan keuntungan suku tahun semua bank masih tinggi walaupun semasa wabak Covid-19 melanda.

"Jika tak salah saya, antara RM7 bilion hingga RM8 bilion untuk suku tahun.

"Takkanlah tak boleh bantu menampung beban yang dipikul oleh rakyat? Sebab itu saya tanya menteri kewangan ini, (dia) mewakili bank atau mewakili rakyat?

"Tapi dia tak jawablah, sampaikan langkah langkah kita itu tidak berani langsung nak sentuh bank," katanya.

Anwar berkata demikian semasa ditanya dalam program bual bicara Minda Profesor Negara yang disiakan secara langsung melalui Facebook hari ini.

Terdahulu Anwar diminta mengulas mengenai kesan moratorium sama ada ia memberi kebaikan pada masa ini atau boleh menjejaskan usaha kerajaan untuk memulihkan ekonomi secara umum.

Isu moratorium menyeluruh dan automatik banyak diperkatakan pelbagai pihak sebelum ini, termasuk menjelang pembentangan Belanjawan 2021 pada tahun lalu.

Selain pembangkang ia turut menjadi desakan Umno - parti yang menjadi sebahagian daripada kerajaan Perikatan Nasional (PN).

Bagaimanapun permintaan itu tidak dilaksanakan termasuk apabila Putrajaya mengisytiharkan darurat pada 12 Jan lalu, serta pelaksanaan PKP 2.0.

Sebaliknya kerajaan hanya melaksanakan moratorium bersasar untuk sesetengah pihak dan ia untuk mendapatkannya mereka mesti membuat permohonan kepada bank.

Pakej Bantuan Perlindungan Ekonomi dan Rakyat Malaysia (Permai) yang diumumkan oleh Perdana Menteri Muhyddin Yassin pada 18 Jan lalu juga mendapat kritikan pelbagai pihak kerana ia dianggap sekadar mengulang atau menambah baik apa yang disebut dalam belanjawan sebelum ini.

Anwar berkata dia memang maklum bahawa kerajaan tidak boleh mengambil langkah terlalu drastik sehingga bank mengalami kerugian besar.

Katanya, dia juga faham bank merupakan tunggak dalam sistem yang ada sekarang.

Pun begitu, kata Anwar, dalam keadaan sekarang janganlah sampai mereka langsung tidak boleh disentuh.

"Saya tahu (kita tak boleh) ambil langkah yang terlalu drastik sehingga bank mengalami kerugian besar kerana bank itu juga menjadi tunggak dalam sistem yang ada sekarang.

"Tetapi sampai tak berani nak sentuh bank dan memaksa bank untuk melaraskan (adjust) sedikit, ini dasar yang sangat prokapitalis, yang membebankan rakyat," katanya.

Oleh itu, Anwar berpandangan adalah lebih baik untuk kerajaan mengadakan pertemuan dengan pemilik pemilik bank di negara ini.

"Bagi saya harus ada sedikit kesediaan pimpinan negara untuk memanggil tuan punya bank dan menyatakan: kamu harus sedia mengurangkan keuntungan kamu, mengurangkan tapi bukan menghilangkan (keuntungan).

"Daripada RM8 bilion tinggal RM6 bilion apa bendalah sangat, kan? Daripada orang tak ada kerja.

"Dalam soal moratorium ini, sebagai contoh saya mendesak supaya ia diberi pertimbangan kerana kita lihat keuntungan yang dicatat oleh bank itu masih amat lumayan," katanya.

Tambah Anwar, kerajaan harus mengambil pendekatan ekonomi dengan sedikit pengubahsuaian.

"Dalam keadaan orang sengsara kita masih dapati syarikat-syarikat untungnya itu berbilion-bilion. Tak adakah sifat perikemanusiaan untuk mengurangkan beban rakyat yang dibawah?" katanya.

"Orang ini nak fikir pasal makan, pasal pelajaran anak anak dia, nak beli susu. Ini yang umpamanya berlaku apabila Ketua Polis PJ membantu ibu tunggal yang terpaksa mencuri untuk beri makan anak anak dia.

"Itu satu contoh, yang lain yang ratus ribu lagi tak mencuri, ada banyak. Jadi kita harus tunjukkan keprihatinan kita bukan umum begitu sahaja," tambahnya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS