Masalah kekurangan peralatan, kelemahan capaian internet serta kurang keyakinan kepada keberkesanan kaedah Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) merupakan antara keluhan kebanyakan penduduk di Kuching, Sarawak berhubung kaedah pembelajaran itu yang bermula Rabu lepas.
Bernama hari ini menghubungi beberapa ibu bapa serta guru untuk melihat penerimaan mereka terhadap amalan baru ini.
Seorang bapa, Bernard Aman, 57, berkata dia terpaksa berbelanja agak besar untuk membeli pelbagai peralatan untuk pembelajaran melalui PdPR bagi anaknya yang merupakan pelajar sekolah menengah.
Katanya dia terpaksa membelanjakan sekitar RM3,000 untuk membeli komputer riba baru-baru ini, dan perbelanjaan bulanan isi rumahnya juga kini bertambah dengan langganan internet.
“Ini membebankan, harga komputer serta gajet lain sepatutnya diturunkan memandangkan ia kini satu keperluan setiap pelajar,” katanya yang turut membangkitkan mengenai keberkesanan PdPR berbanding dengan pembelajaran bersemuka.
Bagi Bernard, apa yang paling membimbangkan bagi kaedah PdPR ini adalah capaian internet yang tidak menentu yang boleh mengganggu interaksi guru dan murid.
Kementerian Pendidikan (KPM) pada 16 Jan lepas memaklumkan sesi persekolahan secara bersemuka bermula 20 Jan di seluruh negara hanya membabitkan calon yang akan menduduki peperiksaan utama bagi 2020.
Semua murid sekolah rendah dan murid Tingkatan 1 hingga Tingkatan 4 di sekolah menengah pula akan mengikuti pembelajaran melalui kaedah PdPR mengikut kesesuaian guru dan murid mulai 20 Jan.
'Tak cukup data'
Seorang guru di sebuah sekolah menengah di sana, Rayner Kuit, 33, pula berkata berkata penggunaan data internet yang tinggi terutamanya untuk memuat turun video serta audio semasa PdPR melibatkan kos internet yang tinggi.
Katanya data percuma 1GB sehari yang diberikan secara percuma oleh kerajaan tidak mencukupi untuk menampung keperluan penggunaan semasa PdPR yang melibatkan beberapa sesi dalam satu hari.
Bagaimanapun, bagi mengatasi masalah itu, pihak guru memberi tugasan melalui aplikasi Whatsapp atau secara mesej biasa yang tidak memerlukan penggunaan internet yang tinggi.
“Ada juga guru yang mengunjungi murid terutamanya di kampung-kampung serta kawasan pendalaman untuk mengedarkan nota serta tugasan untuk murid,” tambahnya.
Sementara itu, tinjauan Bernama di Wisma Saberkas yang merupakan lokasi utama bagi masyarakat setempat mendapatkan alat elektronik seperti komputer riba, gajet dan telefon pintar mendapati aktiviti ekonomi di sini semakin rancak setelah agak suram tahun lepas.
Seorang peniaga dari Napoleon Online Sdn Bhd Muhamad Sabri Piee, 26, berkata sebelum pengumuman pembelajaran secara PdPR, perniagaan mereka agak perlahan akibat situasi penularan Covid-19 yang menyukarkan operasi perniagaan mereka.
“Selepas pengumuman KPM mengenai kaedah PdPR, kami terima banyak pelanggan terutamanya pelajar. Peningkatan jualan juga agak ketara, dengan anggaran kira-kira 40 hingga 50 peratus di mana majoritinya adalah ibu bapa yang mencari gajet untuk anak-anak mereka,” katanya kepada Bernama hari ini.
Berkongsi pengalaman sama, seorang peniaga dari One Two Call Telecommunication Sdn Bhd Reyes Chong, 31, juga mengakui permintaan telefon pintar dan ‘tablet’ di kedainya semakin meningkat.
“Ada peningkatan sekurang-kurangnya 10 peratus. Bagaimanapun, apa yang saya perhatikan, walaupun ibu bapa berkenaan mempunyai anak lebih daripada seorang, mereka hanya membeli satu sahaja ‘tablet’. Ini mungkin sebagai langkah penjimatan,” katanya.
Bagi Nelson Chin, 21, dari Ezzee Telecomunication Sdn Bhd, katanya, ramai ibu bapa yang datang ke kedainya untuk membeli telefon pintar untuk anak-anak mereka dan rata-ratanya mencari peranti itu dalam lingkungan harga RM300 hingga RM500.
-Bernama