Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Semakin banyak kondo paksa penghuni jalani ujian Covid-19

Lebih banyak pihak pengurusan di beberapa kondominum didapati kini mewajibkan penyewa di situ melakukan ujian saringan Covid-19.

Terdahulu Malaysiakini melaporkan pekerja asing di Pangsapuri Cheria Heights dikehendaki menghantar keputusan ujian Covid-19 masing-masing kepada pengurusan petempatan terbabit.

Ekoran itu, seorang pembaca memaklumkan kepada Malaysiakini bahawa Pangsapuri Merdeka View - terletak di Kuala Lumpur - mengkehendaki bukan hanya pekerja asing, bahkan semua penyewa di situ untuk menghantar keputusan ujian mereka.

Dalam kunjungan Malaysiakini ke situ semalam, terdapat notis ditampat di pondok pengawal bagi memaklumkan dasar baru itu. Notis itu bertarikh 26 Dis 2020.

Ia menyatakan bahawa penyewa - sama ada baru atau lama - tidak dibenarkan memasuki premis berkenaan sekiranya mereka tidak mempunyai laporan ujian Covid-19 dalam tempoh tujuh hari, selain pasport rasmi dan permit kerja yang sah.

Seorang jurucakap pejabat pengurusan petempatan itu mengesahkan, setiap penyewa mestilah menghantar keputusan ujian Covid-19 mereka yang terbaru.

Menurutnya, ketika gelombang pertama Covid-19 pada Mac tahun lalu, jawatankuasa penduduk memutuskan bahawa semua penyewa yang terdiri daripada pekerja warga asing mesti membuat ujian Covid-19.

Namun, katanya, memandangkan terdapat lonjakan kes pada Dis lalu jawatankuasa berkenaan mewajibkan semua penduduk diuji saring, termasuk warga tempatan. Hasilnya, semua penduduk membuat ujian Covid-19 dengan mengeluarkan perbelanjaan sendiri.

Pemilik unit alami kerugian

“Sama ada warga asing atau tempatan, kami tak kisah - keperluan (melakukan ujian swab) sama sahaja. Apa yang kami buat ini adalah untuk melindungi kawasan ini, kami tak mahu ada kluster di sini," katanya.

Menurutnya peraturan tersebut hanya dikenakan ke atas penyewa, manakala pemilik kediaman yang tinggal di situ dikecualikan.

Pembaca yang mengadu mengenai hal itu berkata pejabat pengurusan tidak berhak mengenakan polisi seumpama itu.

Pembaca terbabit yang merupakan pemilik unit kondominium di situ - tetapi tidak mahu dinamakan - berkata dia tidak dapat menerima penyewa kerana keperluan baru berkenaan.

“Pada pandangan saya, ini tak adil. Ia menyebabkan banyak kerugian kepada pemilik unit,” katanya.

Berang dengan hal itu, katanya, dia akan membuat aduan kepada agensi kerajaan yang berkenaan bagi meminta tindakan diambil ke atas pihak pengurusan.

Malaysiakini difahamkan Pangsapuri Choo Cheng Khay - kondominium yang terletak bersebelahan Merdeka View - mengarahkan pekerja asing untuk menghantar keputusan ujian Covid-19 sebelum dibenarkan menyewa di situ.

Pengerusi jawatankuasa pengurusan petempatan itu yang hanya mahu dikenali sebagai Khiang, mengesahkan syarat berkenaan kepada Malaysiakini.

Katanya, ramai pekerja asing mahu menyewa di kondominium itu sejak Dis lalu namun pengurusan memutuskan untuk bersikap “sangat berhati-hati” dan mengambil pendekatan berjaga-jaga.

“Jadi, kami bagitahu yang mereka perlu berikan kami (keputusan ujian Covid-19) terkini bagi memastikan kami terlindung (daripada kemungkinan jangkitan),” katanya.

Dia bagaimanapun menegaskan, pejabat pengurusan tidak mewajibkan penyewa sedia ada melakukan ujian swab.

Malaysiakini sebelum ini melaporkan bahawa pekerja asing di Pangsapuri Cheria Heights dikehendaki menghantar keputusan ujian Covid-19 kepada pihak pengurusan atau mereka dilarang daripada memasuki premis terbabit.

Pengarah kumpulan hak asasi warga asing Our Journey, Sumitha Shaanthinni Krishna, menyifatkan peraturan itu mendiskriminasi, dan berkata pihak pengurusan tidak ada kuasa untuk menghalang penduduk memasuki premis.

Bagaimanapun, pejabat pengurusan menafikan dakwaan itu dan mendakwa mereka hanya membantu kerajaan melaksanakan ujian wajib Covid-19 ke atas pekerja asing.

Sebelum ini, dilaporkan bahawa kondominium Sri Angsana Hilir di Kuala Lumpur turut menaikkan notis serupa untuk penduduk warga asingnya.

Pihak pengurusan kemudian berkata mereka akan meminda notis itu dan tidak akan menghalang penyewa daripada memasuki rumah mereka.

Meskipun penularan Covid-19 sebelum ini membabitkan beberapa kilang dan kawasan pembinaan, kebanyakannya melibatkan pekerja asing, kini, warga Malaysia juga tergolong dalam sebahagian besar bilangan kes baru. 


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS