Muhammad 'Izzat Mohd Zubir, 25, generasi pertama dasar Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI).
Dia belajar subjek sains dan matematik dalam bahasa Inggeris, sejak darjah satu, hingga Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).
Tahun lepas, dia menamatkan pengajian ijazah sarjana muda fizik (minor astronomi) di Universiti Sains Malaysia (USM).
Sepanjang masa itu, dia tiada masalah mencari bahan rujukan dalam bahasa Inggeris.
Bagaimanapun, semasa di universiti, ketika bekerja sambilan sebagai guru tuisyen pada Februari 2017, dan perlu mengajar kelas tambahan mata pelajaran fizik di sebuah sekolah, dia menyedari kesukaran untuk mengajar dalam kosa kata bahasa Melayu.
Ketika mahu merujuk pengajaran berbahasa Melayu di laman YouTube pula, dia sedar satu lagi perkara - kandungan pendidikan fizik dalam bahasa Melayu adalah sangat kurang.
“Dulu masa saya SPM, saya memang guna YouTube untuk belajar, Khan Academy (saluran pendidikan berbahasa Inggeris). Bila difikirkan, pelajar-pelajar ini (kelas tuisyennya) memang belajar dalam bahasa Melayu.
“Saya cari di YouTube, memang tak ada lagi kandungan (fizik) dalam bahasa Melayu.
"Saya rasa ada faedah yang tidak saksama (unfair advantage). Pelajar yang belajar dalam bahasa Inggeris, ada banyak bahan, tapi yang belajar dalam bahasa Melayu, kurang.
“Waktu itu saya tergerak hati untuk mula wujudkan kandungan fizik dalam bahasa Melayu.
"Ada dua matlamat, satu, untuk menambahkan kandungan STEM (sains, teknologi, kejuruteraan dan matematik) dalam bahasa Melayu.
“Dua, untuk tambahkan kosa kata fizik dan sains saya dalam bahasa Melayu,” katanya kepada Malaysiakini, menceritakan kisah di sebalik kelahiran saluran YouTubenya, Mudahnya Fizik!
Saluran miliknya itu bermula sejak 2017 dan setakat ini sudah mengumpul seramai lebih 21,000 pelanggan, dan mencatatkan lebih 1.5 juta tontonan.
Salurannya merangkumi rakaman pengajaran subjek fizik untuk tingkatan 4 dan 5, semuanya mengikut sukatan pelajaran yang digariskan.
Ketika musim perintah kawalan pergerakan (PKP) apabila pelajar dan guru terkekang dengan kelas dalam talian, kandungan pendidikan di salurannya mendapat perhatian hangat.
Pada tahun 2019, tontonan purata siaranya cuma sekitar 500 tontonan setiap hari, namun sejak Covid-19 melanda tahun lalu, dia menyaksikan peningkatan mendadak tontonan sehingga kini puratanya mencecah 6,000 tontonan setiap hari.
Kata ‘Izzat, semangatnya untuk pengisian salurannya turut dibakar oleh peningkatan tontonan.
“Saya perasan waktu Mac (tahun lepas), sewaktu PKP, saya nampak peningkatan tontonan, pelanggan naik. Banyak orang komen berterima kasih, saya rasa gembira.
“Asalnya sebelum PKP, saya buat video secara rambang sahaja, sewaktu PKP saya ada dalam 150 video. Sekarang (dalam masa kira-kira setahun), sudah ada 400 video. Dalam PKP memang banyak video saya buat, sampai 10 sehari saya buat,” ceritanya.
Ada pelajar yang meluahkan rasa teruja atas kandungannya, juga ada juga cikgu yang meminta kebenaran untuk menggunakan videonya sebagai bahan bantuan mengajar. Semua itu memekarkan rasa gembira buat ‘Izzat.
Lanjut pengajian peringkat sarjana
Sasarannya untuk tahun ini, dia mahu mengemas kini dan menyiapkan kandungan untuk seluruh sukatan pelajaran fizik tingkatan 5.
Kata 'Izzat, rancangannya itu dirangka memandangkan bermula tahun ini, sekolah menggunakan sukatan pelajaran baru Kurikulum Standard Sekolah Menengah (KSSM).
Menurut ‘Izzat lagi, pada awalnya, ‘kelas’ fiziknya itu hanya dirakam menggunakan rakaman skrin peranti Microsoft Surface yang dimilikinya, tanpa perlu dia menunjukkan muka pun di dalam rakaman.
“Boleh conteng dekat skrin menggunakan stilus (pen digital). Saya rakam (skrin), dan cakaplah. Kebanyakan video saya memang dirakam begitu."
Bagaimanapun, sekarang, dia melebarkan skop kandungannya, mencakupi pendidikan di luar kotak sukatan pelajaran.
Jelasnya, cara penyampaian juga semakin pelbagai, ada yang menggunakan slaid, ada yang menggunakan format sembang santai secara bersemuka, dirakam menggunakan telefon pintar.
Malah kata ‘Izzat, sekarang, salurannya mempunyai ciri ‘keahlian’ oleh Youtube yang membenarkannya menetapkan akses berbayar kepada kandungan-kandungan tertentu.
Jadi, kandungannya kini ada yang percuma, ada yang berbayar serendah RM1.50 hingga RM10 sebulan.
Sekarang, topik kandungannya sudah pelbagai, seperti pengenalan astronomi, fizik kuantum serta kerelatifan khas.
'Izzat sendiri bakal melanjutkan pengajian ke peringkat sarjana fizik dalam bidang kajian daya asas dan medan kuantum serta sudah pun menerima tawaran daripada Imperial College London.
Jika singgah di saluran Mudahnya Fizik!, di halaman utama, terpapar video “Apa itu Lohong Hitam?”
Kata ‘Izzat, dia ada menerima komen yang menyentuh hatinya daripada pelajar yang menonton video berkenaan.
“Ada yang kata, menarik. Dia kata nak tanya lagi. Dia komen kata, bila (tonton video) dalam bahasa Inggeris, dia tak faham. Tapi (rupanya) menarik. Dia lagi nak tanya pasal lohong hitam ni.
“Saya rasa macam dekat dengan diri saya sebab saya dulu pun macam itu, waktu sekolah menengah dulu, saya memang suka tanya benda di luar silibus.
“[...] Bila saya mula buat video macam ini, saya perasan, ada juga budak-budak yang tanya soalan macam ini. Ramai (sebenarnya) yang minat. Saya macam nampak cerminan diri saya (yang dulu),” katanya lagi.
Harapan ‘Izzat, lebih ramai pencipta kandungan akan membuat kandungan STEM dalam bahasa Melayu, kerana mungkin ada saintis hebat dalam diri kanak-kanak yang potensinya dikurung oleh kesukaran hidup dan keadaan menyebabkan tercicir penguasaan bahasa Inggerisnya.
Hal itu dilihatnya sendiri ketika selalu membuat lawatan ke kawasan-kawasan pedalaman, menjalankan program astronomi dan cerapan buat kanak-kanak di sana sebagai presiden Persatuan Sains Fizik USM dahulu.
Katanya, ada soalan-soalan yang bernas diutarakan oleh pelajar yang mungkin dianggap tercicir atau tidak mempunyai rekod markah yang bagus.
“Dia tanya soalan itu, kita tahu dia tanya soalan yang bagus. Cuma sebab peluang dia tak ada, atau bahan untuk dia mengkaji itu tak ada. Jadi dia pun rasa ‘tak perlulah, kita ikut saja takdir. Apa orang bagi, kita terima saja’.
“Saya ada bagi tahu, boleh cari di Google. Cuma ada pelajar bagi tahu, dia dah cuba Google, tapi masalahnya dia tak faham, sebab dia tak biasa dengan istilah-isitlah dalam bahasa Inggeris. Saya nampak, benda macam ini mungkin akan bunuh minat pelajar itu.
“Sebab itu saya cuba sediakan kandungan (dalam bahasa Melayu) [...].
“Itu bagi saya, satu dorongan diri, untuk sediakan kandungan-kandungan.
"Kita tambah bahan STEM ini dalam bahasa yang boleh difahami oleh masyarakat,” katanya yang sempat berkongsi akan menamatkan zaman bujang setelah PKP tamat nanti.