Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Tiada masalah potong gaji demi rakyat, tapi kena telus - Pembangkang S'gor

Pembangkang Selangor tiada masalah untuk gaji mereka dipotong bagi menyumbang ke dalam Tabung Bantuan Menangani Bencana Covid-19.

Ketua Pembangkang DUN, Rizam Ismail berkata ini kerana gaji yang mereka perolehi hari ini datangnya daripada rakyat.

Oleh itu, kata Rizam ia juga seharusnya kembali kepada rakyat.

"Secara dasarnya saya menyokong cadangan Kerajaan Negeri Selangor untuk memotong gaji menteri besar, Adun-Adun dan juga pengerusi-pengerusi syarikat berkaitan kerajaan (GLC) bagi menyumbang ke dalam Tabung Bantuan Menangani Bencana Covid-19 dan membantu mereka yang terkesan dengan pandemik Covid-19 ini.

"Kerana gaji kami sebagai Adun datangnya daripada rakyat. Dari rakyat kita peroleh, kepada rakyat juga kita memberi," katanya kepada Malaysiakini.

Rizam berkata demikian mengulas pengaktifan semula Tabung Bantuan Menangani Bencana Covid-19 bagi membantu rakyat yang terkesan dengan pandemik itu ekoran perintah kawalan pergerakan (PKP) 2.0.

Menteri Besar Amirudin Shari ketika mengumumkan pakej bantuan Kita Selangor ekoran perintah kawalan pergerakan (PKP) 2.0 pada Rabu berkata akan mengaktifkan semula Tabung Bantuan Menangani Bencana Covid-19 yang sebahagiannya akan dibiayai melalui potongan gaji ahli politik.

Menurut Amiruddin, mekanisme potongan gaji itu akan dimuktamadkan segera, membabitkan pemotongan gaji Adun, exco serta pegawai tinggi di syarikat berkaitan kerajaan (GLC) negeri.

Bagaimanapun, mengulas lanjut Rizam dia sebagai ketua pembangkang DUN Selangor akan memantau keberkesanan tabung itu secara dekat.

Katanya, ini bagi memastikan tiada rakyat yang terlepas daripada menerima bantuan daripada kerajaan negeri Selangor.

"Kita tidak mahu lagi wujud seperti dahulunya Tabung Harapan yang bertujuan untuk membantu rakyat tetapi akhirnya duit pun kita tidak tahu pergi kemana.

"Niatnya sangat baik untuk mewujudkan tabung. Tetapi niat yang baik tanpa pelaksaanaan yang telus boleh mengakibatkan rakyat akan lebih sengsara dan seterusnya ekonomi negeri juga melemah kerana kekurangan perbelanjaan dari kalangan rakyat," katanya.

'Bantuan tak sampai'

Dakwa Rizam, sebelum ini sudah terlalu banyak aduan berkenaan bantuan tidak sampai dan banyak inisiatif yang diumumkan tidak dilaksanakan secara sempurna.

"Oleh itu, saya berharap kerajaan negeri Selangor kali ini mengambil serius dalam segala perancangan atau inisiatif bantuan rakyat.

"Jangan hanya pandai umum tanpa meneliti pelaksanaannya secara tuntas dan telus," tambahnya.

Perkara yang sama turut dibangkitkan Adun Sungai Panjang, Mohd Imran Tamrin ketika dihubungi Malaysiakini.

Mohd Imran menyentuh soal proses agihan bantuan kerajaan negeri Selangor ketika PKP 1.0 Mac tahun lalu.

"Ini bukan satu perkara baru. Sebelum ini ketika PKP 1.0 Mac lalu, kerajaan negeri Selangor membuat ketetapan bahawa semua Adun dipotong gaji 30 peratus untuk dimasukkan ke dalam tabung Covid-19.

"Jadi, kita tidak ada masalah dan menyambut baik untuk dana itu dikumpulkan dan juga dimasukkan dalam tabung Covid-19.

"Cuma dari pihak kami, Adun-adun bukan kerajaan ini kami berharap menteri besar tidak ulangi apa yang dia buat semasa PKP 1.0 sebelum ini yang mana semua Adun ini dipotong gaji sama rata tapi peruntukan tambahan atau pun peruntukan untuk bantuan kepada rakyat (di DUN pembangkang) tak sama.

"Maksudnya, Adun kerajaan diberikan peruntukan tambahan tetapi kami Adun pembangkang tiada peruntukan tambahan tapi gaji kami dipotong sama rata. Itu sajalah yang berlaku pada PKP kali pertama dulu," katanya.

Mac lalu ketika PKP pertama kali dilaksanakan kerajaan Selangor mengumumkan peruntukan RM30,000 untuk perbelanjaan berkaitan Covid-19 secara langsung.

Bagaimanapun, pakatan pembangkang di negeri itu mendakwa peruntukan berkenaan tidak diberi kepada Adun pembangkang Selangor, sebaliknya menyalurkannya kepada penyelaras lantikan.

Menjawab persoalan itu, menteri besar berkata menjadi amalan biasa menyalurkan peruntukan kerusi pembangkang melalui penyelaras lantikan kerajaan negeri.


Dapatkan maklumat terkini dan perincian berkenaan penularan Covid-19 di Malaysia di laman penjejak ini.

 


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS