Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
'Akaun Facebook kecam satira Fahmi Reza tidak mewakili Bersatu'
Diterbitkan:  Jan 23, 2021 9:00 AM
Dikemaskini: 9:03 AM

NOTA EDITOR: Laporan ini sudah dikemas kini dengan penjelasan Armada bahawa akaun Facebook yang mengecam Fahmi tidak mewakil sayap parti atau parti itu.


Ketua Penarangan Pemuda Bersatu (Armada) Mohd Ashraf Mustaqim Badrul Munir tampil menjelaskan bahawa akaun Facebook yang mengecam karya satira aktivis dan pereka grafik Fahmi Reza bukan mewakili pendirian Armada mahu pun parti itu.

Jelas Ashraf, Facebook berkenaan sebaliknya ditadbir oleh kumpulan serpihan parti itu yang sudah meninggalkan Bersatu, namun tidak menyerahkan akaun Facebook berkenaan kepada kepimpinan baru.

Penjelasannya itu berhubung kecaman akaun Facebook dengan nama 'Armada Bersatu PPBM' yang mempunyai keterangan mengaku sebagai 'laman Facebook rasmi Armada'.

Ashraf mendakwa akaun berkenaan kini digunakan bagi memburukkan kepimpinan Bersatu sedia ada.

"Itu bukan page rasmi Armada.

"Itu adalah page yang tak diserahkan oleh kepimpinan lalu yang cukup 'integriti' dan guna atas nama Armada untuk buat kerja troll (hasut maya) dan black ops mereka," katanya kepada Malaysiakini.

Mengulas isu grafik Fahmi yang memaparkan logo Bersatu yang digabung dengan imej daun ganja, Ashraf berkata pihaknya menghormati kebebasan aktivis itu untuk bersuara.

"Dia (Fahmi) nak bersatira itu hak dia dalam kebebasan menyatakan pandangan.

"Kita hormati perkara 10 Perlembagaan Persekutuan. Tapi saya harap dihormati juga penulisan laporan dari sumber yang benar," katanya.

Dalam versi awal laporan ini, Malaysiakini memetik akaun Facebook yang menjadi pertikaian itu sebagai mewakili Armada.

Semalam, sumber polis, yang bercakap dengan Malaysiakini dengan syarat tidak mahu didedahkan namanya kerana perkara itu masih dalam siasatan, mengatakan polis merampas 1.5 kg daun ganja kering, sembilan tanaman ganja, dan sejumlah besar cecair dipercayai mengandungi narkotik.

Sumber mengatakan bahawa polis bertindak berdasarkan maklumat dan menahan suspek, berusia 35 tahun, di Fraser Business Park di Kuala Lumpur pada hari Rabu petang kerana memiliki bahan terlarang.

Berikutan penangkapan itu, polis menyerbu rumah suspek di Ampang, Selangor, pada hari itu.

"Ketika pemeriksaan, polis menemui tujuh pokok dan dua anak pokok ganja. Ada beberapa lagi botol ditemui yang disyaki mengandungi ekstrak ganja.

"Kami juga menemui leraian daun kering disyaki ganja dalam beberapa beg plastik dan bekas," kata sumber lagi.

Nilai rampasan dianggarkan kira-kira RM60,000.

Polis turut menahan isteri suspek, 34 tahun, dan seorang warga asing yang disyaki pembantu rumah pasangan itu.

Ketiga-tiganya disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952, yang membawa hukuman mati mandatori jika sabit kesalahan.

Malaysiakini tidak mendedahkan nama individu yang dimaksudkan selagi dia tidak didakwa. Dia masih suspek dan tidak memegang apa-apa jawatan kerajaan.

Suspek juga tidak memegang apa-apa jawatan yang diraih secara undian dalam Bersatu. Dia merupakan ahli lantikan dalam sebuah biro dalam Armada.

Ketika PRU 2018, dia menjadi calon Bersatu di kerusi Parlimen di Perak.

Pengarah Jabatan Narkotik Bukit Aman, Razarudin Husain, ketika dihubungi, mengesahkan kes itu dan mengatakan ia sedang disiasat oleh polis Kuala Lumpur.

Ketua Polis Kuala Lumpur Saiful Azly Kamaruddin tidak memberi respons terhadap permintaan komen.

Ini bukan kali pertama individu yang dikaitkan dengan Bersatu disiasat untuk masalah berkaitan dadah.

Pada Januari tahun lalu, Adun Dengkil Adhif Syan Abdullah adalah antara mereka yang ditahan dalam serbuan kes dadah di Kuala Lumpur.

Pada mulanya, Ketua Polis Negara Abdul Hamid Bador mengatakan 16 (daripada 17) orang ditangkap di sebuah unit kondominium setelah mereka didapati positif dadah terlarang. Ketamin dan ganja juga dijumpai di unit itu, katanya.

Selepas dua bulan dan pertukaran kerajaan, pihak berkuasa mengatakan laporan patologi Adhif mendapati ujian air kencingnya bersih dan Jabatan Peguam Negara telah memerintahkan semua siasatan diklasifikasikan sebagai "tidak ada tindakan selanjutnya" (NFA).


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS